20 Tahun Lagi Malaysia Jadi Negara Tua? HAPI Bawa Penyelesaian
KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Malaysia mungkin berdepan perubahan besar dalam tempoh 20 tahun akan datang apabila negara dijangka mencapai status negara tua, dengan lebih 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas.
Lebih membimbangkan, peningkatan populasi warga emas bukan sekadar melibatkan angka, tetapi turut memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan, kebajikan sosial, kemudahan awam dan kehidupan masyarakat secara keseluruhan.
Malah, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas di Asia Timur dan Asia Tenggara dijangka mencecah 590 juta orang menjelang 2050, dengan seorang daripada setiap empat penduduk di Asia Timur bakal tergolong dalam kumpulan warga emas.
Menghadapi cabaran itu, inovasi dalam penjagaan dan kesejahteraan warga emas semakin menjadi keutamaan, sekali gus mendorong pelbagai negara mencari pendekatan baharu bagi memastikan golongan berkenaan terus menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan berkualiti.
Seiring perkembangan tersebut, sebanyak 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah Asia mendapat pengiktirafan menerusi anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI) edisi kelima yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Anugerah anjuran Japan Center for International Exchange (JCIE) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) itu bertujuan mengiktiraf pelbagai inovasi, program, perkhidmatan dan produk yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat menua.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano berkata, penganjuran HAPI di Malaysia amat signifikan ketika negara sedang membuat persediaan menghadapi perubahan struktur demografi penduduk.
Menurutnya, platform berkenaan bukan sekadar memberikan pengiktirafan kepada organisasi yang menghasilkan inovasi, malah membuka peluang perkongsian pengetahuan serta memperkukuh kerjasama antara negara dan sektor dalam menangani cabaran masyarakat menua.
Beliau turut berharap pencapaian organisasi yang diiktiraf menerusi HAPI dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk menghasilkan penyelesaian yang boleh disesuaikan dengan keperluan masyarakat di seluruh Asia.
Menariknya, tiga Anugerah Utama diberikan kepada organisasi yang mengetengahkan pendekatan berbeza dalam memastikan warga emas mendapat penjagaan sewajarnya, terus terlibat dalam komuniti dan menikmati persekitaran yang lebih mesra.
Bagi kategori Penjagaan dan Kesejahteraan (Care & Wellbeing), Anugerah Utama diberikan kepada Frailty Prevention Team dari The University of Tokyo, Jepun, yang diwakili Pengarah Institute of Gerontology, Profesor Katsuya Iijima.
Inisiatif berasaskan komuniti itu membantu warga emas mencegah atau memulihkan keadaan kerapuhan fizikal melalui amalan gaya hidup lebih sihat serta pengukuhan hubungan sosial.
Sementara itu, kategori Penglibatan Sosial (Social Engagement) dimenangi NOLLUWA dari Korea Selatan, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mun-Hwan Cho.
Organisasi itu menerima pengiktirafan menerusi inisiatif Local Libero for Regional Revitalization and Sustainability yang menggalakkan kerjasama antara generasi selain menghidupkan semula komuniti luar bandar yang berdepan peningkatan populasi warga emas.
Bagi kategori Persekitaran yang Menyokong (Supportive Environments) pula, Fukuoka City dari Jepun menerima Anugerah Utama menerusi inisiatif Fukuoka Dementia-Friendly Design.
Inisiatif yang diwakili Timbalan Datuk Bandarnya, Dr. Yasuko Arase itu memberi tumpuan kepada pembangunan persekitaran awam yang lebih mudah diakses dan inklusif bagi individu yang hidup dengan demensia.
Selain Jepun dan Korea Selatan, organisasi dari Hong Kong SAR, Indonesia, Thailand, Vietnam serta Filipina turut menerima pengiktirafan dalam edisi kelima HAPI.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama yang saling berkait dalam kehidupan warga emas, termasuk penjagaan kesihatan dan kebajikan, penglibatan aktif dalam komuniti serta pembangunan persekitaran yang menyokong keperluan golongan berkenaan.
Kategori Penjagaan dan Kesejahteraan memberi pengiktirafan kepada inovasi yang menyokong penjaga warga emas serta penyedia perkhidmatan kesihatan dan kebajikan bagi meningkatkan kesihatan fizikal, mental dan kesejahteraan mereka.
Kategori Penglibatan Sosial pula menekankan usaha menggalakkan penyertaan aktif warga emas dalam komuniti serta mengeratkan hubungan antara generasi.
Manakala kategori Persekitaran yang Menyokong memberi tumpuan kepada inovasi yang menjadikan kediaman, kawasan kejiranan dan pengangkutan lebih mudah diakses serta mesra warga emas.
HAPI merupakan inisiatif JCIE dan ERIA yang dilaksanakan di bawah naungan Asia Health and Wellbeing Initiative (AHWIN) kerajaan Jepun.
Penyertaannya terbuka kepada pelbagai organisasi termasuk pertubuhan komuniti, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO), persatuan, kerajaan tempatan, syarikat perniagaan dan organisasi lain di seluruh rantau ini.
Menerusi platform berkenaan, organisasi daripada pelbagai latar belakang berpeluang berkongsi pengalaman, mengetengahkan idea baharu dan meneroka penyelesaian yang boleh disesuaikan mengikut keperluan masyarakat masing-masing.
Bagi Malaysia, perubahan demografi yang bakal berlaku menuntut persediaan lebih menyeluruh, bukan hanya dari sudut kemudahan rawatan, tetapi juga sokongan komuniti, persekitaran mesra warga emas dan peluang untuk golongan itu terus menjalani kehidupan secara berdikari.
Persoalannya, sejauh mana Malaysia bersedia menghadapi realiti tersebut?
Apa yang pasti, usaha membina masyarakat yang mesra warga emas perlu bermula sekarang supaya peningkatan usia bukan menjadi penghalang untuk terus hidup aktif, sihat dan menikmati kehidupan berkualiti.


Comments
Post a Comment