Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai
KUALA LUMPUR – Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana yang menghimpunkan lebih 600 tetamu termasuk 200 golongan asnaf dalam satu program kebajikan sempena Ramadan.
Program tahunan itu menjadi tradisi masjid setiap kali Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada rakan kolaborasi serta usaha memperkukuh hubungan strategik antara masjid, agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat setempat.
Menurut Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin Ybhg Dato Ahmad Nazri Ibrahim majlis berkenaan turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. Turut hadir ialah wakil sekolah sekitar Alam Damai yang sentiasa menyokong aktiviti kemasyarakatan masjid.
Selain itu, beberapa syarikat korporat turut menyumbang dalam menjayakan program berkenaan termasuk Ukur Dimensi Sdn Bhd, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia, Juara Travel Sdn Bhd, CA Facilities Integrated Sdn Bhd, Munif Hijjaz Sdn Bhd, MTD Capital Sdn Bhd, Bank Rakyat Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Cactus Tech Sdn Bhd.
Majlis yang dihadiri lebih 600 tetamu itu terdiri daripada wakil agensi kerajaan, rakan strategik korporat, penyumbang serta jemaah dalam kalangan anak kariah masjid dan golongan asnaf.
Dalam majlis tersebut, pihak masjid bersama rakan strategik turut menyampaikan sumbangan kepada 200 golongan asnaf serta beberapa artis veteran tempatan yang sedang berdepan kesukaran hidup.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi platform merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah mencerminkan semangat keprihatinan sosial dan tanggungjawab bersama dalam membantu golongan memerlukan.
Secara keseluruhannya, Majlis Berbuka Puasa Perdana itu menjadi simbol sinergi antara masjid, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti, sekali gus memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, kebajikan dan perpaduan ummah.









Comments
Post a Comment