Kuala Lumpur, 21 Ogos 2025 – Majlis yang penuh inspirasi tercipta apabila Anugerah Worthy Wonder Women 2025 berlangsung megah di KL Wellness City Gallery, meraikan wanita hebat Malaysia yang mencipta impak dalam pelbagai bidang sempena Hari Wanita Kebangsaan.
Dianjurkan oleh ADLA Group Sdn Bhd, acara berprestij bertemakan “Celebrating Women’s Success” ini menghimpunkan ikon wanita dari dunia seni, pendidikan, keusahawanan, komuniti dan kepimpinan – sebuah pentas pengiktirafan kepada mereka yang menjadi inspirasi generasi.
🌸 Tokoh Wanita Dirai
Majlis dimulakan dengan ucapan bersemangat daripada Datin Dr. Leez Hassan, Pengasas ADLA Group, yang menekankan pentingnya mengiktiraf “kekuatan yang tenang, daya tahan harian, dan kepimpinan wanita yang sering tidak kelihatan tetapi mengubah masyarakat.”
Tetamu Kehormat, Dato’ Sri Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim, Pengerusi LPPKN merangkap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut diraikan dengan Anugerah Worthy Woman Icon atas legasi beliau memperjuangkan kesejahteraan keluarga dan pemerkasaan wanita Malaysia dan diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Dr. Vincent Tiew selaku Pengarah Eksekutif Penjenamaan, Jualan dan Pemasaran, KL Wellness City.
Zarina Zainuddin: Dari Layar Perak ke Inspirasi Keluarga
Antara penerima yang mencuri perhatian ialah pelakon dan usahawan, Datin Sri Zarina Zainuddin, yang menerima Anugerah Worthy Promise of Home.
Zarina, ibu kepada anak-anak istimewa, berkata penghargaan itu menjadi penguat semangat untuk terus mendidik keluarga dengan penuh kasih sayang.
“Kalau anak kita ada masalah, itu sebenarnya amanah untuk kita. Walaupun buruk macam mana pun sikap anak, kita kena terima dan perbaiki. Bila anak rasa diri dia bernilai, dia akan ada semangat untuk hidup dan berdikari,” ujar Zarina yang kini aktif mengimbangi dunia lakonan, perniagaan, dan tanggungjawab sebagai ibu.
Bagi Zarina, kejayaan sebenar seorang wanita bukan hanya diukur melalui pencapaian kerjaya, tetapi bagaimana dia mampu menjadi tonggak yang mengikat kasih sayang dalam keluarga.
🌟 Sesi Inspirasi & Diskusi Penuh Makna oleh Dr. Soo Wincci
Acara turut menyaksikan perkongsian penuh makna oleh Dr. Soo Wincci bertajuk “The Beauty of the Heart”, diikuti diskusi “The Power of Being a Worthy Woman” bersama DCP (B) Dato’ Hajah Fatimah Abdul Hamid dan Dato’ Freida Mohd Pilus.
Bagi Soo, perjalanan hidup seorang wanita bukan sekadar tentang kejayaan yang nampak di mata orang, tetapi juga perjuangan dalaman untuk bertahan dan terus melangkah walaupun pernah hampir menyerah.
“Banyak kali saya rasa nak berhenti. Kadang-kadang terlalu penat. Tapi setiap kali itu, ada saja kejadian yang buat saya sedar – kita kena teruskan, langkah demi langkah. Jangan terlalu laju, nanti kita sendiri yang rebah. Saya belajar untuk bernafas seketika, kemudian bangun semula. Itulah kekuatan wanita sebenar,” jelas Soo dengan penuh emosi.
Tayangan multimedia “Celebrating Our Journey (WOMEN)” mengimbau perjalanan kolektif wanita Malaysia dalam membentuk perubahan masyarakat dan pembangunan negara.
🏆 Penerima Anugerah 2025
Antara penerima yang diraikan termasuk:
Worthy Youth Creative – Puan Ema Malina Bt Abu Bakar Tajudin
Worthy Promise of Home – Datin Sri Zarina Zainuddin
Worthy Community Impact – Dr. Soo Wincci
Worthy Mentor – Puan Laila Johari
Worthy Heart of Wisdom – Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa
Worthy Visionary – Puan Sri Datin Prof. Dr. Rohini Devi Joseph
Worthy Entrepreneurship – Dato’ Freida Mohd Pilus
Worthy Leadership – DCP (B) Dato’ Hajah Fatimah Abdul Hamid
Worthy Inspirational – Dato’ Dr. Colin Lee
Worthy Woman Icon – Dato’ Sri Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim
🌍 Pelancaran Forum Antarabangsa
Majlis turut melancarkan International Work Life Balance Forum 2025 (IWLBF 2025) yang akan berlangsung pada 8 November 2025 di Corus Hotel KLCC, dengan tema “Beyond Balance: Building Resilient People and Responsible Businesses”.
Forum ini dijangka menjadi platform antarabangsa bagi membincangkan strategi keseimbangan hidup dan kerja secara lestari.
💖 Menghargai Keberanian & Sumbangan
Dengan tepukan gemuruh dan suasana penuh emosi sejak awal pagi, Anugerah Worthy Wonder Women 2025 sekali lagi mengukuhkan mesej bahawa wanita bukan sahaja diraikan atas kejayaan mereka, tetapi juga kerana keberanian, belas ihsan, dan sumbangan besar mereka kepada keluarga, komuniti dan negara.
📲 Ikuti perkembangan di:
Instagram ADLA Group: @adla_group
Instagram Women Mentoring Network: @womenmentoringnetwork.my
Comments
Post a Comment