Pelajar Malaysia Kini Berpeluang Teroka Bidang Perubatan di UGM, GIC Sasar 100 Pelajar Tahun Depan
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia kini mempunyai lebih banyak peluang untuk meneroka bidang perubatan, pergigian, farmasi dan veterinar di Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia menerusi kerjasama strategik antara Goon International College (GIC) dan universiti berkenaan.
Kerjasama itu membuka laluan pendidikan tinggi antarabangsa yang lebih jelas kepada pelajar dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian di UGM, selain memberi ruang kepada kedua-dua institusi memperkukuh hubungan akademik Malaysia-Indonesia.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, GIC menyasarkan pengambilan 100 pelajar Malaysia pada Januari tahun depan, khususnya bagi mereka yang berminat meneruskan pengajian dalam bidang profesional.
Antara bidang pengajian yang berpotensi diketengahkan termasuk Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Sarjana Muda Pergigian, Sarjana Muda Farmasi dan Sarjana Muda Perubatan Veterinari.
Pengarah GIC, P. Prabagaran, berkata kerjasama itu bertujuan membantu lebih ramai pelajar tempatan memahami serta meneroka laluan pendidikan yang tersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahu pelajar memahami bahawa terdapat pelbagai laluan untuk mereka melanjutkan tahap pendidikan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
“Melalui kerjasama ini, kami mengharapkan peluang pendidikan ini akan lebih mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kerjasama Strategik GIC dan UGM di Goon International College, hari ini, yang turut menghimpunkan wakil kedua-dua institusi serta Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.
Menurut Prabagaran, GIC turut menyediakan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains, terutama mereka yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang dan mempunyai potensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, inisiatif itu diharap dapat memberikan sokongan tambahan kepada pelajar berpotensi, selain membantu membuka laluan kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang profesional yang diminati.
Sementara itu, Dekan Jabatan Anatomi UGM, Prof. Teguh Budipitojo, menyambut baik kerjasama berkenaan yang disifatkan sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kami berharap kerjasama ini dapat memberikan pelajar Malaysia akses lebih luas kepada peluang akademik, maklumat serta pengalaman pembelajaran antarabangsa di UGM.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jabatan Anatomi UGM. Saya percaya melalui kerjasama ini, jumlah pelajar akan bertambah.
“Ini sangat baik untuk sektor pendidikan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama tersebut turut berpotensi dikembangkan kepada penglibatan akademik yang lebih luas, termasuk mobiliti pelajar serta bentuk kerjasama institusi lain pada masa hadapan.
Kerjasama GIC dan UGM juga membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama termasuk mobiliti pelajar, aktiviti pelajar, program akademik serta kerjasama institusi lain, tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan bersama.
Inisiatif itu diharap menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program pada masa hadapan yang dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran, pembangunan pelajar serta hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.
Pelajar atau ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang mengikuti kursus perubatan di UGM boleh menghubungi info@goon.edu.my.



Comments
Post a Comment