KHUP5 Jadi Platform Sehenti Haji, Umrah dan Pelancongan, Himpun 34 Pengelola Jemaah Haji Berlesen | 9-11 Oktober 2026, MHCC KLIA


KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA akan menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke-5 (KHUP5) dari 9 hingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang.

Memasuki edisi kelima, KHUP5 menjadi platform sehenti yang menghimpunkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen yang dilantik TH bagi Musim Haji 1448H/2027M, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara terus mengenai pakej haji, umrah dan pelancongan yang ditawarkan.

KHUP5 merupakan inisiatif bersama TH dan pihak industri untuk memperkenalkan serta mempromosikan pakej yang ditawarkan oleh pengelola berlesen, di samping menjadi pusat rujukan masyarakat berkaitan urusan haji, umrah dan pelancongan patuh syariah.


Pengarah Haji TH, Mohd Hisham Harun, berkata KHUP5 memberi peluang kepada bakal haji bertemu secara langsung dengan PJH berlesen bagi mendapatkan maklumat yang tepat, telus dan terkini sebelum membuat pilihan pakej.

“KHUP5 bukan sekadar pameran pakej haji, malah merupakan platform ilmu, pengalaman dan komuniti yang membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini berkaitan urusan haji.

“Bakal haji boleh mendapatkan penerangan secara terus daripada PJH sebelum membuat pilihan pakej berdasarkan kemampuan, keperluan dan tahap keselesaan masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, pakej-pakej haji yang dikawal selia TH disediakan bagi memberi pilihan kepada bakal jemaah mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing bagi urusan ibadah haji musim 1448H/2027M.


Selain pakej haji, pengelola berlesen turut menawarkan pelbagai perkhidmatan nilai tambah bagi membantu memudahkan dan melancarkan urusan jemaah sepanjang perjalanan ibadah haji.

Kemudahan dan perkhidmatan tambahan yang ditawarkan memberi ruang kepada bakal jemaah menilai pakej yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing, selain mendapatkan penerangan secara terus daripada pengelola sebelum membuat keputusan.

Penglibatan pengelola berlesen turut membuka peluang kepada agensi pelancongan dan pengendali pelancongan Bumiputera Muslim untuk terlibat secara terkawal sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) dalam urusan haji, tertakluk kepada proses pelesenan serta ketetapan yang ditetapkan oleh TH.

Hisham berkata, KHUP5 turut berfungsi sebagai wadah pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melaksanakan ibadah haji melalui saluran yang sah.

Antara mesej penting yang diketengahkan menerusi KHUP5 ialah “Tiada Visa, Tiada Haji”, selaras dengan ketetapan Kerajaan Arab Saudi bahawa setiap jemaah perlu mempunyai visa haji yang sah bagi menunaikan ibadah haji.

“Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah sahaja.

“Tindakan melanggar ketetapan ini boleh menyebabkan mana-mana individu disabitkan kesalahan undang-undang Arab Saudi termasuk denda, penjara dan disenarai hitam daripada memasuki kawasan Tanah Suci untuk satu tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata, antara objektif utama penganjuran KHUP5 adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menunaikan ibadah haji menggunakan visa yang sah, selain menasihati masyarakat supaya memeriksa sebarang tawaran pakej haji dengan teliti bagi mengelakkan daripada terpedaya dengan sindiket penipuan pakej haji.

“TH sentiasa mengingatkan masyarakat supaya memastikan segala urusan haji dibuat melalui saluran yang sah serta mematuhi ketetapan pihak berkuasa, khususnya berkaitan visa, permit dan urusan perjalanan haji,” katanya.

Sementara itu, Presiden BUMITRA MALAYSIA, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata KHUP5 menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan penerangan terus daripada PJH mengenai pakej yang ditawarkan, termasuk pakej ekonomi, selain pelbagai pakej umrah dan pelancongan patuh syariah.

“KHUP5 memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai perkhidmatan, kemudahan dan nilai tambah yang ditawarkan oleh PJH sebelum membuat pilihan.

“Kami berharap platform ini dapat membantu masyarakat membuat persediaan haji dengan lebih terancang serta memastikan urusan dibuat melalui saluran yang sah,” katanya.

KHUP5 bukan sahaja memberi tumpuan kepada bakal jemaah yang telah menerima tawaran haji, malah turut membuka ruang kepada masyarakat umum yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pakej umrah dan pelancongan yang ditawarkan oleh 34 pengelola berlesen.

Selain pameran dan promosi pakej, KHUP5 turut menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kekeluargaan dan hiburan.

Antara pengisian yang disediakan ialah Bual Bicara dan Podcast TH, Simulasi Haji Cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, selain persembahan kumpulan nasyid The Rayhan, Rabbani dan Ezad Lazim.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan kemunculan istimewa BoBoiBoy, menyertai kuiz interaktif dan cabutan bertuah serta mengunjungi Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai makanan, minuman dan barangan berkaitan haji dan umrah.

Dalam perkembangan berkaitan, TH turut memperkenalkan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) pada tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, sumbangan dan kecemerlangan PJH dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, pada Majlis Serahan Lesen PJH bagi Musim Haji 1448H/2027M baru-baru ini.

Penganjuran KHUP5 diharap dapat terus menjadi platform sehenti yang memberi manfaat kepada masyarakat dengan menyediakan akses kepada maklumat haji, umrah dan pelancongan secara lebih mudah dan terus daripada pengelola berlesen.

Pada masa sama, platform tersebut dapat memperkukuh kerjasama antara TH, PJH dan pemain industri dalam menyokong ekosistem haji negara, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan maklumat dan perkhidmatan melalui saluran yang sah.

Orang ramai dijemput hadir ke KHUP5 dari 9 hingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang.

Maklumat lanjut serta e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh diperoleh melalui laman rasmi KHUP Malaysia. - HAUSTV


Comments

Popular posts from this blog

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai

TERMA 2025: Bila Tarian Etnik Jadi Cerita, Bukan Sekadar Persembahan