Malaysia Sarong Music Run 2026: Larian Bertukar Pesta Budaya di Tengah Kota


KUALA LUMPUR, 8 September 2026: Bersiap sedia untuk berlari sambil bersarung! Malaysia Sarong Music Run 2026 kembali untuk edisi ketiga pada 19 September ini dengan menjadikan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagai pentas besar yang menggabungkan larian, muzik, budaya, makanan dan hiburan dalam satu pengalaman penuh warna.

Bukan sekadar datang untuk mengejar masa dan garisan penamat, peserta kali ini bakal disambut dengan persembahan kebudayaan, muzik serta pelbagai aktiviti interaktif sepanjang laluan, menjadikan setiap kilometer lebih meriah daripada biasa.

Dengan kira-kira 20,000 peserta tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai larian kategori 5 kilometer (km) dan 3km, Kuala Lumpur bakal menyaksikan lautan manusia lengkap bersarung memenuhi jalan raya.



JETOUR tampil sebagai Penaja Utama Malaysia Sarong Music Run 2026, yang semakin dikenali sebagai acara unik dalam kalendar acara negara kerana mengangkat kain sarung daripada sekadar pakaian tradisional kepada simbol gaya, budaya dan kebersamaan rakyat Malaysia.


Pengasas Malaysia Sarong Music Run, Eddy Casmady, berkata sambutan terhadap acara berkenaan menunjukkan masyarakat semakin terbuka menerima pendekatan yang menggabungkan gaya hidup sihat dengan elemen budaya.

“Kami mahu setiap peserta bukan sahaja pulang dengan pengalaman larian yang menghiburkan, tetapi juga dengan rasa bangga terhadap warisan Malaysia,” katanya.

Kain sarung menjadi ‘watak utama’ sepanjang acara apabila peserta digalakkan menggayakannya mengikut kreativiti masing-masing, sekali gus menampilkan kepelbagaian corak, warna dan gaya yang mencerminkan identiti masyarakat Malaysia.

Lebih menarik, kemeriahan tidak berhenti apabila pistol pelepasan dibunyikan.

Sepanjang laluan, peserta akan melalui beberapa checkpoint yang disediakan dengan persembahan dan aktiviti berbeza.

Di checkpoint pertama, ION Spritzer selaku penaja minuman utama akan mempersembahkan Marching Culture Dance yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.


Peserta bukan sahaja boleh menonton, malah turut diajak menari bersama. Jadi, kalau kaki sudah penat berlari, bolehlah rehat sekejap sambil ‘layan’ persembahan.

Sampai sahaja di checkpoint kedua di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, suasana dijangka bertambah gamat apabila Battle Dikir Barat kembali selepas mencuri perhatian pada edisi lalu.


Kali ini, persembahan berkenaan tampil lebih besar dengan dua pentas yang dikuasakan oleh Tiger Beer, menjanjikan pertembungan rentak, muzik dan suara yang pastinya sukar untuk dilepaskan begitu sahaja.

Bagi yang mula terbayang makanan selepas berlari, jangan risau.

Sebanyak 50,000 kuih tradisional disediakan di checkpoint terakhir dengan sokongan Sri Talamas, meningkat daripada 30,000 kuih pada tahun lalu.

Maksudnya, selain dapat membakar kalori, peserta juga boleh menambah semula tenaga sambil menikmati juadah tradisional.

Kemuncak acara pula dijangka berlangsung apabila malam menjelma dengan pertunjukan 1,000 dron yang akan menerangi langit Kuala Lumpur.

Pertunjukan cahaya yang dibawakan oleh JETOUR itu dijangka menjadi antara detik paling menarik untuk peserta dan pengunjung mengakhiri hari penuh kemeriahan berkenaan.

Tidak cukup dengan sarung, tarian, Dikir Barat dan dron, acara kali ini turut menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang diumumkan sebagai pembaca ikrar Malaysia Sarong Music Run 2026.

Acara itu turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijangka bersama-sama peserta bagi acara pelepasan (flag-off) kategori 5km dan 3km.

Semangat patriotik turut diberi nafas baharu apabila 2,000 bendera Malaysia akan dibawa sepanjang laluan, meningkat daripada 1,000 bendera pada tahun lalu.

Bagi menambah elemen ‘fashion show’ di tengah-tengah larian, penganjur turut menganjurkan pertandingan pakaian tercantik dalam tiga kategori iaitu lelaki, wanita dan keluarga.

Jadi, ini bukan masa untuk segan-segan. Sarung boleh digayakan dengan cara masing-masing kerana kreativiti bakal menjadi taruhan.

Peserta terawal juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila 5,000 selempang khas disediakan oleh JETOUR, manakala 5,000 sarung daripada ION Spritzer pula bakal diberikan kepada peserta yang berada di kelompok terakhir.

Turut mencuri perhatian ialah konvoi istimewa 100 kenderaan JETOUR T1 dan T2 yang akan disempurnakan oleh Presiden JETOUR sendiri.

Konvoi itu bakal menghidupkan suasana di beberapa jalan utama Kuala Lumpur menerusi penutupan jalan secara separa dan penuh bagi memberi laluan kepada acara.

Daripada langkah pertama sehingga pertunjukan dron terakhir, Malaysia Sarong Music Run 2026 mahu peserta menikmati pengalaman yang lebih besar daripada sekadar larian.

Ia adalah tentang bersarung, bergerak bersama, mengenali budaya, menikmati muzik, mencuba kuih tradisional dan meraikan kepelbagaian dalam suasana yang santai serta menyeronokkan.

Jadi, pada 19 September ini, jangan datang hanya dengan kasut larian.


Bawa sarung, bawa semangat, bawa keluarga dan paling penting, bawa mood untuk berseronok!

Kerana di Malaysia Sarong Music Run 2026, siapa kata larian mesti serius?


Comments

Popular posts from this blog

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai

TERMA 2025: Bila Tarian Etnik Jadi Cerita, Bukan Sekadar Persembahan