Ezad Lazim Kembali Dengan ‘Rasa Cinta’, Buka Lembaran Baharu Bersama EZ Record, Perkenal Dua Artis Baharu


KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri hiburan tanah air, penyanyi, pelakon dan komposer Ezad Lazim kembali dengan single terbaharunya, ‘Rasa Cinta’, sekali gus membuka lembaran baharu menerusi syarikat rakamannya sendiri, EZ Record.

Lebih istimewa, ‘Rasa Cinta’ menjadi karya pertama yang dihasilkan Ezad bersama isterinya, Zeana Ramli, yang turut bertindak sebagai penulis lirik.

Lagu bergenre balada itu membawa mesej tentang makna cinta yang luas dan bukan sekadar mengenai hubungan antara pasangan, malah boleh ditafsirkan sebagai luahan kasih serta pengabdian kepada Yang Maha Esa.

Sepanjang perjalanan seninya sejak 1995, Ezad yang pernah bersama kumpulan Exists dikenali menerusi vokalnya yang tersendiri selain mengembangkan bakat sebagai pelakon, komposer dan penerbit.

Kini, berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri, Ezad mengambil langkah lebih besar apabila menerajui EZ Record sebagai produser, komposer serta peneraju penerbitan muzik dan muzik video.

Penubuhan EZ Record turut menjadi titik perubahan buat Ezad selepas mengambil masa yang agak lama untuk kembali aktif menghasilkan karya selepas meninggalkan Exists.

Menurut Ezad, ilham untuk menghasilkan ‘Rasa Cinta’ hadir secara spontan sebaik sahaja studio rakaman miliknya selesai dibangunkan di Kota Warisan, Sepang, pada awal 2025.

Ketika memegang gitar, melodi lagu berkenaan hadir dengan begitu mudah sebelum beliau meminta Zeana untuk melengkapkan karya tersebut menerusi penulisan lirik.

“Bagi melengkapkan karya tersebut, saya meletakkan kepercayaan kepada Zeana Ramli, isteri dan pengurus saya, untuk menghasilkan lirik kerana saya percaya Zeana mempunyai bakat dalam penulisan.

“Hasilnya, ‘Rasa Cinta’ menjadi karya pertama yang kami hasilkan bersama sebagai pasangan suami isteri,” jelas Ezad.

Bukan sekadar kembali dengan karya sendiri, Ezad kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat baharu menerusi EZ Record.

Dua artis baharu, Adree dan Tika Nasir, bakal diperkenalkan di bawah label berkenaan selepas masing-masing selesai menjalani proses rakaman lagu di studio EZ Record.

Kedua-dua artis itu dijangka tampil dengan karya masing-masing dalam masa terdekat mengikut perancangan label.

Selain itu, beberapa lagi lagu baharu juga telah siap dihasilkan dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk diperkenalkan kepada umum.

Menerusi EZ Record, Ezad berharap dapat terus menghasilkan karya berkualiti selain membuka lebih banyak ruang kepada bakat baharu untuk mencipta nama dalam industri muzik tempatan.

Dengan pengalaman luas yang dimilikinya serta kemunculan generasi baharu di bawah EZ Record, ‘Rasa Cinta’ menjadi permulaan kepada satu perjalanan baharu buat Ezad Lazim dalam terus mewarnai industri muzik Malaysia.


Comments

Popular posts from this blog

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai

TERMA 2025: Bila Tarian Etnik Jadi Cerita, Bukan Sekadar Persembahan