Dari Sisa Jadi Beg Trendy, remadesia Ubah Bahan Industri Jadi Gaya
KUALA LUMPUR, 20 September 2026 — Daripada bahan industri yang berpotensi menjadi sisa, remadesia memberikan kehidupan kedua kepada tarpaulin terpakai dengan mentransformasikannya menjadi beg trendy, tahan lasak dan mempunyai identiti tersendiri.
Membawa konsep “Remade in Malaysia”, remadesia bukan sekadar menghasilkan beg, tetapi mengangkat idea bahawa bahan yang telah selesai digunakan untuk fungsi asal masih boleh diberikan nilai baharu melalui proses upcycling.
Pengasas remadesia, Encik Alfred Kong, berkata jenama itu diwujudkan dengan visi untuk membangunkan produk upcycle buatan Malaysia yang mampu membawa mesej kelestarian dari Malaysia ke seluruh dunia.
Menurut beliau, masih belum ramai pemain di Malaysia yang mengambil bahan industri dan mengubahnya menjadi produk upcycle, justeru remadesia mahu memperluaskan kesedaran bahawa sisa industri juga mempunyai potensi untuk dijadikan produk yang berfungsi dan tahan lama.
“Bahan yang sepatutnya dibuang dan menjadi sampah kita ambil, kutip, cuci dan berikan second life. Jadi kita bukan sekadar menggunakan waste, tetapi mentransformasikannya menjadi sesuatu yang functional dan lasting,” katanya.
Keunikan remadesia turut terletak pada asal bahan yang digunakan. Tarpaulin berkenaan pada asalnya merupakan bahan untuk kegunaan industri, menyebabkan ia mempunyai ciri ketahanan yang sesuai untuk dijadikan beg bagi kegunaan harian.
Malah, remadesia menawarkan waranti selama 10 tahun, dengan matlamat memastikan beg yang mengalami masalah tidak terus dibuang ke tapak pelupusan, sebaliknya boleh digunakan semula atau dibaiki.
Pendekatan itu menjadi sebahagian daripada usaha remadesia untuk mempromosikan konsep ekonomi kitaran (circular economy), di mana sesuatu bahan terus diberikan nilai dan kegunaan baharu bagi mengurangkan pembaziran.
Lebih menarik, setiap beg remadesia mempunyai karakter tersendiri kerana ia mengekalkan sebahagian ciri daripada “kehidupan sebelumnya” bahan berkenaan.
“Setiap beg adalah one of a kind. Ada sedikit kesan atau ciri daripada previous life bahan tersebut. Jadi setiap beg memang mempunyai cerita sendiri dan itulah yang menjadikannya unik,” katanya.
Produk remadesia hadir dalam pelbagai saiz dan jenis yang bersifat multi-purpose, dengan harga antara RM39 hingga RM329, bergantung kepada reka bentuk, saiz dan jenis beg.
Menurut Alfred, pihaknya akan terus memperkenalkan pelbagai produk baharu dari semasa ke semasa, manakala beberapa idea produk berasaskan bahan upcycle lain masih berada pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Memang ada pihak yang sudah approach kita untuk produk lain, tetapi belum sampai ke peringkat R&D. Kita buat step by step. Fokus kita sekarang adalah beg dahulu,” katanya.
Antara idea produk yang berpotensi dibangunkan pada masa hadapan termasuk produk berasaskan kasut dan pakaian, namun ia masih dalam perancangan.
Pada masa sama, remadesia turut memberikan penekanan kepada aspek pemerkasaan komuniti menerusi kerjasama dengan Persatuan PSJKM.
Menurut Alfred, usaha tersebut melibatkan wanita B40, ibu tunggal, masyarakat Orang Asli serta penghuni penjara wanita dalam sebahagian proses penghasilan produk, khususnya kerja-kerja jahitan.
“Kita bukan hanya mahu bercakap tentang sustainability. Kita juga mahu empower community. Mereka terlibat dalam kerja-kerja jahitan dan kita dapat mewujudkan job opportunity untuk mereka,” katanya.
Pendekatan itu menjadikan produk remadesia mempunyai nilai bukan sahaja dari sudut alam sekitar, tetapi turut membawa kisah komuniti yang terlibat di sebalik penghasilannya.
Selain menghasilkan beg untuk kegunaan harian, remadesia turut membawa aspirasi untuk menjadikan produknya sebagai cenderamata Malaysia yang bermakna.
Alfred berkata pihaknya mahu pelancong yang datang ke Malaysia mempunyai peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu produk buatan Malaysia yang mempunyai cerita tersendiri.
“Kita punya vision ialah apabila pelancong datang ke Malaysia, mereka beli satu beg yang dibuat di Malaysia. Kita mahu mereka pegang dan bangga dengan produk itu kerana ia membawa cerita dan makna tentang Malaysia,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan konsep tersebut kepada masyarakat, remadesia turut mencipta sejarah apabila “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” mereka diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Beg gergasi itu dihasilkan menggunakan tarpaulin industri yang diperoleh semula serta lebihan bahan industri dan mempunyai ukuran 410 sentimeter tinggi, 210 sentimeter lebar dan 120 sentimeter dalam.
Proses menghasilkan beg berskala besar itu mengambil masa kira-kira dua minggu.
Pencapaian berkenaan direalisasikan sempena Malaysia Circular Economy & Sustainability Week 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Pink Zone, Aras 2.
Pada jam 2 petang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, berkenan mencemar duli ke acara tersebut dan melawat pameran berkaitan kelestarian serta ekonomi kitaran.
Majlis penyampaian sijil rasmi Malaysia Book of Records pula berlangsung pada jam 3 petang, sebelum diteruskan dengan sesi fotografi bersama tetamu, rakan media, rakan kerjasama serta pasukan remadesia.
Selain pameran beg gergasi tersebut, remadesia turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk Upcycled Bag Sand Bag Challenge yang memberi peluang kepada peserta menguji aspek praktikal dan ketahanan beg remadesia.
Turut disediakan DIY Personalise Corner, membolehkan pengunjung memilih pelbagai aksesori dan elemen hiasan untuk memperibadikan beg mengikut gaya masing-masing.
Ruang bergambar khas yang menampilkan “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar”, lengkap dengan kostum upcycle dan prop kreatif, turut disediakan kepada pengunjung.
Remadesia juga mempamerkan koleksi beg yang dihasilkan daripada bahan diperoleh semula dan lebihan bahan industri, selain menerangkan proses pembersihan, pemotongan, reka bentuk dan jahitan sebelum bahan tersebut diberikan fungsi baharu.
Sepanjang acara berlangsung, orang ramai turut dijemput meninggalkan tandatangan pada pemasangan “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” sebagai tanda sokongan terhadap konsep upcycling dan usaha ke arah Malaysia yang lebih hijau.
Dalam perkembangan seterusnya, remadesia merancang untuk membuka butik milik sendiri pada 2027, tertakluk kepada kesediaan dan perkembangan perniagaan.
Alfred berkata produk yang berada di pasaran ketika ini merupakan batch pertama, justeru pihaknya akan terus memperbaiki reka bentuk, model dan mutu jahitan berdasarkan perkembangan serta maklum balas pengguna.
“Kita tahu ini first batch. Coming years kita akan improve. Kita akan tukar design, model, improve sewing dan semuanya. Kita mahu produk ini terus berkembang,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya melihat pembelian produk upcycle sebagai salah satu bentuk sokongan terhadap usaha memberikan kehidupan kedua kepada bahan yang berpotensi menjadi sisa.
“Apabila orang membeli produk ini, mereka bukan sahaja membeli sebuah beg, tetapi turut menyokong usaha memberikan kehidupan kedua kepada bahan tersebut,” katanya.
Dengan slogan “Diperbuat Daripada Sisa. Dibina Untuk Tahan Lama,” remadesia menyasarkan untuk terus memperluaskan rangkaian produk upcycle dan membina kesedaran mengenai kepentingan kelestarian serta ekonomi kitaran.
Dengan pengalaman lebih tiga generasi dalam bidang pembuatan kanvas, remadesia menggabungkan kemahiran pertukangan dengan reka bentuk kitaran bagi memberikan nilai baharu kepada bahan sedia ada.
Jenama itu kini membawa aspirasi untuk menjadikan beg remadesia sebagai cenderamata Malaysia yang bermakna — sebuah produk buatan Malaysia yang bukan sahaja trendy dan tahan lasak, tetapi turut mempunyai cerita tentang sisa, kelestarian, hasil kerja tangan dan komuniti.
Diperbuat Daripada Sisa. Dibina Untuk Tahan Lama.













Comments
Post a Comment