Dari Sawah ke ‘Lifestyle’: Larian Tanjong Karang Curi Perhatian 4,500 Peserta
TANJONG KARANG, 5 September 2026 — Sawah padi yang selama ini sinonim dengan aktiviti pertanian kini bertukar menjadi ‘running track’ apabila kira-kira 4,500 peserta menyertai Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0.
Bukan sekadar mengejar masa dan jarak, peserta turut menikmati panorama sawah, suasana kampung, makanan tradisional, permainan masyarakat serta pelbagai pengalaman sepanjang laluan, menjadikan acara itu lebih kepada satu pengalaman ‘lifestyle’ yang menggabungkan kecergasan, keluarga dan komuniti.
Dianjurkan oleh PKSUM Event and Management, edisi keempat larian itu menyaksikan peningkatan penyertaan berbanding kira-kira 3,500 peserta pada edisi terdahulu.
Lebih menarik, acara berkenaan turut menjadi pilihan pasangan muda dan keluarga yang membawa anak-anak untuk bersama-sama menikmati suasana larian dalam persekitaran sawah padi.
Bagi Wasiyyah Holdings Berhad, yang kembali sebagai penaja utama buat kali kedua, trend itu membuka ruang untuk syarikat mendekati segmen pasaran yang semakin penting, khususnya golongan muda.
Group President & Chief Executive Officer (CEO) Wasiyyah Holdings Berhad, Tn Haji Ariffin bin Sabirin, berkata penganjuran program berkenaan memberikan dua manfaat utama, iaitu limpahan ekonomi kepada penduduk setempat serta menjadi sebahagian daripada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.
“Kita nampak penganjuran program ini memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. Yang kedua, kita merasakan ini salah satu daripada aktiviti ESG kita untuk menggalakkan budaya masyarakat sihat,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan pasangan muda dan keluarga juga bertepatan dengan sasaran Wasiyyah Holdings Berhad untuk mendekati golongan muda dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan harta.
“Capaian market segmentation itu penting sebab yang terlibat ramai pasangan muda, golongan muda dengan anak-anak. Ini adalah segmentasi pasaran yang memang Wasiyyah sedang fokuskan sekarang,” katanya.
Pendekatan itu, katanya, selari dengan strategi pendigitalan syarikat menerusi iBAH Digital yang diperkenalkan pada 2023, khususnya dalam memudahkan golongan muda mendapatkan akses kepada perkhidmatan hibah.
Menurut Tn Haji Ariffin bin Sabirin, perubahan profil pelanggan Wasiyyah Holdings Berhad juga menunjukkan perancangan harta semakin mendapat perhatian golongan lebih muda.
Daripada keseluruhan lebih 100,000 pelanggan, katanya, kira-kira 35 peratus berusia 55 tahun ke atas, manakala kira-kira 65 peratus terdiri daripada mereka berusia antara 30 hingga 55 tahun.
“Kita dapati profil orang Islam yang merancang harta sebenarnya semakin lama semakin muda, bukan semakin tua. Yang ramai adalah orang muda. Jadi program seperti Larian Sawah Padi ini adalah cara untuk kita mencapai pasaran sasaran itu,” katanya.
Beliau berkata cabaran utama adalah mengubah kesedaran kepada tindakan kerana sebahagian golongan muda masih merasakan mereka mempunyai banyak masa untuk merancang harta.
“Dia dah faham tapi dia belum bertindak. Orang muda ini suka merasakan masih muda lagi. Jadi kita buat ini sebab kita nak reach market sasaran.”
Sehubungan itu, Wasiyyah Holdings Berhad turut memperkenalkan promosi Hibah RM4,999 bagi memudahkan masyarakat, khususnya golongan muda, mengambil langkah awal dalam perancangan harta.
Haji Ariffin berkata hibah merupakan antara produk utama Wasiyyah yang diperkenalkan sejak 2004, manakala antara permintaan utama dalam pasaran ialah hibah membabitkan hartanah bercagar, termasuk rumah yang masih mempunyai pinjaman bank.
“Majoriti orang muda beli rumah secara pinjaman bank. Jadi dia beli rumah secara pinjaman bank dan dia boleh hibahkan rumah tersebut. Yang ini Wasiyyah pelopori pada tahun 2017.”
Beliau turut menekankan kepentingan hibah bagi pasangan muda yang mempunyai anak bawah umur sekiranya berlaku kematian.
“Bila berlaku kematian kepada pasangan muda ada anak bawah umur 18 tahun, anak itu akan terjejas dengan teruk bila mak bapak dia meninggal dunia.”
Menurutnya, Wasiyyah turut menyediakan perkhidmatan pengurusan harta pelanggan selepas kematian tanpa mengenakan fi kepada waris.
“Kita boleh uruskan harta ini tanpa mengenakan sebarang fee kepada waris. Kita masih antara syarikat amanah di Malaysia yang boleh memberikan perkhidmatan itu secara percuma.”
Sementara itu, Dato’ Rosyam Nor, yang memasuki tahun kedua sebagai duta Wasiyyah Holdings Berhad, melihat penglibatannya sebagai satu tanggungjawab untuk membawa mesej berkaitan perancangan harta kepada masyarakat yang selama ini menyokongnya.
Beliau mengakui pada suatu ketika dahulu turut beranggapan pengurusan harta hanya penting bagi mereka yang mempunyai kekayaan besar.
“Dulu saya ingat pengurusan harta ini hanya untuk orang yang berharta. Rupanya orang yang tak berharta pun dia ada harta. Walaupun sikit, itu adalah harta. Mesti diuruskan sebab itu kewajipan bagi orang Islam.”
Menurut Dato’ Rosyam, kesedaran itu menjadi lebih dekat dengan dirinya apabila beliau mula memikirkan masa depan keluarganya sendiri.
Sebagai bapa kepada lima anak perempuan, beliau mahu memastikan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap isteri serta anak-anaknya dapat diteruskan walaupun beliau sudah tiada.
“Saya nak teruskan kasih sayang saya walaupun saya dah mati. Apa yang saya cari dalam hidup saya, saya nak sambung kasih sayang saya kepada anak dan isteri saya.”
Beliau turut menjelaskan bahawa perancangan harta bukan semata-mata untuk memastikan keluarga menerima aset yang ditinggalkan, tetapi juga membolehkan seseorang menetapkan hasrat terhadap sebahagian hartanya untuk tujuan kebajikan dan amal jariah.
“Sebahagian daripada harta saya diinfakkan kepada anak yatim dan sebagainya. Amal jariah walaupun saya sudah tidak ada.”
Atas kesedaran itu, Dato’ Rosyam berkata beliau sendiri memilih untuk membuat hibah ketika masih hidup.
“Saya menghibahkan semua harta saya kepada keluarga saya. Saya masih hidup dan saya dah bagi.”
Beliau berkata pengalaman itu mendorongnya menawarkan diri untuk menjadi duta Wasiyyah kerana melihat isu pengurusan harta sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Saya offer diri, kenapa tak nanti saya jadi duta? Kerana ini adalah urusan keluarga dan saya rasa saya ada generasi peminat daripada umur 70 tahun. Selagi mereka hidup, mereka mengenali saya.”
Katanya, beliau mahu menggunakan pengaruh dan hubungan bersama peminat untuk menyampaikan kesedaran bahawa pengurusan harta bukan perkara yang hanya perlu difikirkan apabila seseorang sudah berusia.
“Inilah yang saya nak bawa kepada masyarakat dan peminat saya.”
Menurut Dato’ Rosyam, kerjasama bersama Wasiyyah kini memasuki tahun kedua dan mesej berkaitan hibah serta pengurusan harta pusaka semakin mendapat sambutan.
Beliau melihat Larian Sawah Padi Tanjong Karang sebagai platform yang sesuai untuk membawa mesej itu kepada masyarakat kerana majoriti peserta terdiri daripada keluarga dan golongan muda.
“Hari ini kita pergi sambut pula dengan larian ini. Majoritinya orang kita. Bila kita menguar-uarkan kepada mereka agar hati mereka terbuka tentang apa itu pengurusan harta pusaka dan apa itu hibah sebenarnya, itu yang paling penting.”
Dato’ Rosyam berkata masih ramai yang beranggapan apabila seseorang meninggal dunia, harta hanya perlu melalui proses faraid, sedangkan hibah boleh menjadi salah satu instrumen penting untuk perancangan harta semasa hidup.
“Banyak orang ingat bila mati, nanti faraid. Tapi ada benda yang paling besar yang harus kita lakukan ialah hibah.”
Dalam masa sama, beliau memuji Wasiyyah Holdings Berhad kerana menurutnya syarikat berkenaan antara pihak yang memperkenalkan produk hibah secara lebih meluas kepada masyarakat di Malaysia.
“Tanya kepada pihak Wasiyyah kerana merekalah yang pertama membawa produk hibah ini kepada mata masyarakat.”
Kembali kepada acara larian, Dato’ Rosyam melihat konsep Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 sebagai sesuatu yang unik kerana ia tidak terlalu menekankan persaingan, sebaliknya memberi ruang kepada keluarga untuk beriadah bersama.
“Memang ada larian, tapi larian berkeluarga. Ada larian yang serius, kita pergi marathon. Tapi hari ini lebih kepada larian kekeluargaan.”
Beliau turut menyifatkan acara itu sebagai satu bentuk keharmonian masyarakat dan berharap penyertaan pada masa akan datang tidak hanya didominasi satu kaum.
“Saya harap larian ini tahun hadapan bukan hanya disertai ramai orang Melayu sahaja. Kita nak satu Malaysia — Melayu, India, Cina.”
Menurutnya, kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang dapat menjadi simbol bahawa aktiviti sukan mampu menjadi medium untuk merapatkan masyarakat.
Selain aspek sosial, acara itu turut memberikan kesan langsung kepada ekonomi penduduk Tanjong Karang.
Menurut Dato’ Rosyam, kehadiran ribuan peserta dan keluarga menyebabkan penginapan seperti homestay di sekitar kawasan berkenaan mendapat sambutan tinggi.
“Tadi ada lebih 100 homestay dan semuanya penuh. Ada yang tidur dalam khemah. Ia menggerakkan ekonomi.”
Beliau berkata limpahan ekonomi itu dapat dilihat melalui perbelanjaan peserta terhadap minyak, makanan, penginapan serta barangan dan perkhidmatan lain sepanjang berada di Tanjong Karang.
Malah, konsep berkenaan turut memberi peluang kepada generasi muda mengenali semula kehidupan kampung dan suasana yang mungkin tidak pernah mereka alami.
“Sebenarnya mengembalikan balik asal-usul kita. Anak saya, cucu saya tak pernah merasakan macam mana kampung, hidup di kampung macam mana. Tapi bila kita bawa dekat sini, mereka tengok dan rata-rata happy, suka.”
Dalam pada itu, Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 turut menawarkan 14 ‘checkpoint’ yang memberikan pengalaman berbeza kepada peserta, termasuk makanan tradisional dan permainan masyarakat.
Konsep itu menjadikan peserta bukan sekadar berlari dari titik mula ke garisan penamat, tetapi turut berhenti, menikmati suasana, mencuba makanan dan berinteraksi dengan komuniti setempat.
Jumlah peserta yang berdaftar tahun ini menghampiri 4,000 orang, namun jumlah keseluruhan yang hadir dijangka lebih tinggi apabila mengambil kira anak-anak dan ahli keluarga yang turut dibawa bersama.
Haji Ariffin menjangkakan jumlah kehadiran boleh mencecah 5,000 hingga 5,200 orang.
“Peserta-peserta ini bawa anak, bawa family dan sebagainya. Kita jangka dalam sekitar 5,000 ke 5,200 orang.”
Selain itu, penyertaan komuniti anak-anak istimewa turut memberikan dimensi inklusif kepada acara, membuktikan sukan mampu menjadi ruang untuk semua lapisan masyarakat berkongsi pengalaman.
Selari dengan perubahan gaya hidup dan penggunaan teknologi, Wasiyyah Holdings Berhad turut meneruskan usaha memperkenalkan iBAH Digital kepada generasi baharu.
Sejak dilancarkan pada 2023, aplikasi itu telah digunakan kira-kira 21,000 orang Islam, dengan lebih 36,000 dokumen dijana menerusinya.
“iBAH Digital ini maknanya hibah itu dibuat melalui aplikasi sahaja. Tak perlu kertas, tak perlu sign kertas semua. Melalui aplikasi, save dekat cloud.”
Menurut Haji Ariffin, aplikasi berkenaan turut mendapat pengesahan berkaitan akad hibah daripada Mahkamah Syariah di Johor dan Selangor.
Teknologi itu pula dibangunkan sendiri oleh Wasiyyah Holdings Berhad menerusi pasukan jurutera sistem tempatan dan kini mula mendapat perhatian pihak antarabangsa yang berminat meneroka penggunaannya di negara lain.
Dalam konteks lebih besar, Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 memperlihatkan bagaimana sebuah acara komuniti mampu menggabungkan pelbagai elemen dalam satu platform — daripada kesihatan dan keluarga kepada budaya, pelancongan, ekonomi setempat dan kesedaran mengenai pengurusan harta.
Bagi penduduk Tanjong Karang, ribuan peserta yang hadir membawa peluang ekonomi. Bagi peserta pula, sawah padi menjadi latar kepada satu pengalaman yang jauh berbeza daripada larian biasa.
Manakala bagi Wasiyyah Holdings Berhad, acara itu menjadi medan untuk mendekati generasi baharu dan menyampaikan mesej bahawa perancangan harta bukan sesuatu yang perlu ditunggu sehingga usia tua.
Daripada sawah ke ‘lifestyle’, Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 akhirnya bukan sekadar tentang berapa jauh seseorang mampu berlari.
Ia tentang sejauh mana sebuah komuniti boleh bergerak bersama — untuk hidup lebih sihat, mengenali akar budaya, menggerakkan ekonomi setempat dan pada masa sama mula memikirkan masa depan keluarga sebelum terlambat.











Comments
Post a Comment