Bukan Sekadar Perlindungan, FELDA-Perkeso Tawar LINDUNG Kendiri, MYFutureJobs dan Sokongan Rehabilitasi
KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal membuka ruang lebih luas kepada komuniti FELDA untuk mendapatkan perlindungan sosial, sokongan rehabilitasi serta peluang pembangunan kerjaya.
Kerjasama itu diperkukuh menerusi Memorandum Kerjasama (MoU) yang dimeterai bagi menyelaras pelaksanaan operasi secara lebih cekap, bersepadu dan berimpak tinggi dalam memenuhi keperluan komuniti FELDA.
Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua agensi akan menggembleng kepakaran, rangkaian dan jaringan penyampaian masing-masing bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial, program pencegahan, perkhidmatan rehabilitasi serta peluang pekerjaan kepada seluruh ekosistem Kumpulan FELDA.
Ia merangkumi peneroka, suri rumah, generasi baharu, petugas, pekerja asing, majikan dan perusahaan, sekali gus mencerminkan usaha memperluas akses kepada perlindungan serta peluang pembangunan yang lebih menyeluruh.
Antara tumpuan utama kerjasama itu ialah perlindungan keselamatan sosial, keselamatan dan kesihatan, rehabilitasi, sokongan kembali bekerja serta pembangunan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi baharu FELDA.
Dalam masa sama, PERKESO akan memperluas aktiviti advokasi, pendaftaran pencarum, pemudahcaraan pembayaran caruman, khidmat nasihat dan tuntutan faedah kepada komuniti yang layak.
Aspek keselamatan dan kesihatan turut diberi perhatian menerusi program kesedaran, latihan, penaksiran risiko serta saringan kesihatan pekerja, termasuk saringan khusus untuk pemandu kenderaan berat.
Lebih menarik, skop kerjasama itu turut melibatkan penawaran LINDUNG Kasih kepada suri rumah serta LINDUNG Kendiri untuk peneroka, petugas dan organisasi di bawah Kumpulan FELDA.
Kerjasama berkenaan turut memberi penekanan kepada pengurusan kes, advokasi pematuhan serta penyelarasan inisiatif A-CARE SIM Card bagi pekerja asing dalam ekosistem FELDA.
Bagi generasi baharu FELDA pula, pelbagai inisiatif dirancang termasuk pemprofilan dan padanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, latihan kebolehpasaran, program intervensi serta penganjuran karnival kerjaya.
Selain komuniti, FELDA dan PERKESO turut bakal memperluas advokasi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi, kontraktor, vendor serta pembekal.
Langkah itu bertujuan meningkatkan pematuhan serta memperluas akses kepada perkhidmatan PERKESO dalam kalangan pihak yang terlibat dalam ekosistem Kumpulan FELDA.
Kedua-dua agensi juga sedang meneroka integrasi data menerusi Sosial Sinergi bagi memperkukuh aspek penyasaran, penyampaian, pemantauan dan penilaian program, tertakluk kepada undang-undang serta tatakelola keselamatan maklumat.
Majlis pemeteraian MoU berlangsung di Menara FELDA dan menyaksikan dokumen ditandatangani oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Encik Ahmad Syaarani Azulan.
PERKESO pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, serta Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain.
Majlis turut disaksikan Pengerusi FELDA, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia FELDA, Encik Ahmad Tarmizi Zakaria, serta Ahli Lembaga FELDA, Encik Abd Halim Abd Majid.
Menurut PERKESO, kerjasama strategik itu membuka ruang untuk mendekati komuniti FELDA secara lebih tersusun, selain memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada perlindungan sosial dan peluang pekerjaan.
Pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat menerusi program rintis, kempen, seminar, latihan, saringan serta penempatan pekerjaan yang dipersetujui bersama.
Kelayakan bagi setiap inisiatif pula tertakluk kepada peruntukan undang-undang, kadar caruman serta syarat skim yang sedang berkuat kuasa.




Comments
Post a Comment