Sandra Lim Mahu Generasi Muda Lebih Peka, ‘Last Dive’ Bawa Mesej Alam Sekitar
SERDANG: Bagi Sandra Lim, filem bukan sekadar ruang untuk menghiburkan penonton, sebaliknya boleh menjadi platform untuk membuka mata masyarakat terhadap isu yang mungkin selama ini kurang diberi perhatian.
Pelakon, model dan Ratu Cantik Malaysia 2024, Miss Universe Malaysia itu berharap Last Dive, yang tampil menerusi sesi perkongsian dan tayangan treler sempena MAHA 2026 di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, mampu meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Sandra yang antara pelakon filem berkenaan berkata golongan muda perlu lebih peka terhadap pelbagai permasalahan yang berlaku di Malaysia kerana kesedaran menjadi langkah pertama untuk memahami sesuatu isu.
“Sebagai generasi muda, saya harap generasi muda kita boleh lebih sedar tentang masalah yang ada di Malaysia. Kalau kita tidak sedar, kita tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Sandra, pengalaman terlibat dalam Last Dive turut membuka ruang kepadanya untuk melihat bagaimana sesebuah karya boleh membawa mesej yang lebih besar kepada masyarakat.
Sebagai Ratu Cantik Malaysia 2024, katanya, setiap platform yang dimiliki seboleh mungkin mahu dimanfaatkan untuk membawa mesej positif.
“Saya sentiasa fikir dalam setiap filem yang saya buat dan setiap kerja yang saya lakukan, saya mahu membawa mesej positif kepada masyarakat,” katanya.
Bagi Sandra, Last Dive mempunyai kekuatan tersendiri kerana tidak hanya mengetengahkan kisah di lautan, tetapi turut membawa penonton untuk memahami kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Filem berkenaan mengangkat kisah Faiz, seorang bekas pemain bola sepak yang lumpuh selepas kemalangan, serta Amelia, jurulatih selam skuba yang membantu golongan OKU meneroka dunia bawah laut. Jalan cerita itu kemudiannya berkembang kepada pendedahan mengenai kegiatan yang mengancam alam marin.
Selain Sandra, Last Dive turut menampilkan Shiqin Kamal, Aniq Duraf, Fify Azmi dan Amerul Affendi, selain penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi dan Fauziah Latiff.
Dalam pada itu, penerbit, pengarah dan penulis Last Dive, Datin Dr Wendy Wong, berkata filem berkenaan dihasilkan dengan hasrat untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, khususnya dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan konservasi laut.
Wendy menegaskan pihak produksi tidak mahu laut dan pantai sekadar menjadi latar cantik dalam sesebuah filem.
Sebaliknya, Last Dive cuba membawa penonton menyelami dunia sebenar di bawah permukaan laut dengan menampilkan terumbu karang, penyu, ikan dan ekosistem marin.
“Kita harus melindungi laut, melindungi masa depan,” katanya.
Pendekatan itu menjadi antara kekuatan utama filem berkenaan yang mahu mengubah cara penonton melihat laut — bukan sekadar sebagai destinasi atau pemandangan indah, tetapi sebagai ekosistem yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan manusia.
Sementara itu, penerbit Last Dive, Dato’ Nancie Foo, berkata filem berkenaan membawa mesej yang diharap dapat disampaikan kepada khalayak lebih luas.
Selain konservasi laut, Last Dive turut memberi perhatian kepada komuniti OKU dan mahu menunjukkan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk seseorang meneroka potensi diri.
Filem itu sendiri menampilkan penyelam OKU sebenar dalam penggambaran, sekali gus memberikan elemen autentik kepada mesej pemerkasaan yang dibawa.
Nancie berharap mesej yang diketengahkan tidak terhenti kepada penonton di Malaysia sahaja, sebaliknya dapat disampaikan kepada masyarakat lebih luas.
Kemunculan Last Dive di MAHA 2026 turut memberi dimensi berbeza kepada acara berkenaan apabila isu kelestarian marin diketengahkan menerusi medium filem.
Sesi tersebut turut dihadiri Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta Dato’ Haji Adnan Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, selain Wendy Wong, Nancie Foo dan Sandra Lim.
Buat Sandra, apa yang lebih penting ialah mesej itu sampai kepada generasi yang akan mewarisi dunia pada masa depan.
Last Dive dijangka menemui penonton di pawagam pada Disember 2026, selepas membawa mesej mengenai alam sekitar, pemuliharaan laut dan pemerkasaan golongan OKU menerusi kisah yang menggabungkan dunia selaman dengan realiti kehidupan.








Comments
Post a Comment