OATLife Oat Milk tampil iklan drama pendek “Surat Khabar Lama”, AR Badul teraju utama sempena Hari Merdeka ke-69
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2026 – OATLife Oat Milk tampil dengan sebuah iklan drama pendek berjudul “Surat Khabar Lama” sempena sambutan Hari Merdeka ke-69, dengan menampilkan legenda seni tanah air AR Badul sebagai pelakon utama.
Drama pendek berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen “Kembalinya Sang Lagenda” yang diperkenalkan OATLife bagi menghargai jasa dan sumbangan golongan seniman veteran kepada industri hiburan tanah air, selain menyampaikan mesej berkaitan perpaduan dan semangat kemerdekaan.
Dalam “Surat Khabar Lama”, AR Badul membawakan watak Uncle Sam, seorang penjual surat khabar lama yang menjadi antara watak penting dalam menyampaikan mesej mengenai sejarah, kenangan dan nilai kemanusiaan.
Turut menjayakan drama pendek itu ialah penyanyi dan pelakon Santesh yang membawa watak Arvind Raj, serta personaliti media Wong Xiao Jie sebagai May.
Naskhah berkenaan diarahkan oleh Raja Azrey dan mengangkat kisah yang menggabungkan elemen sejarah, warisan, perpaduan serta kehidupan masyarakat Malaysia daripada latar belakang berbeza.
Kemunculan semula AR Badul sebagai teraju utama turut menjadi antara tarikan utama karya tersebut, khususnya dalam usaha OATLife mengangkat kembali figura legenda yang pernah mewarnai industri hiburan tanah air.
Menurut OATLife, kempen “Kembalinya Sang Lagenda” bukan sekadar sebuah kempen pemasaran, sebaliknya turut menjadi wadah untuk menghargai artis-artis veteran yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan seni dan hiburan Malaysia.
Pada masa sama, kempen itu membawa mesej bahawa generasi baharu perlu terus menghargai sejarah, warisan serta jasa golongan terdahulu dalam membentuk identiti negara.
Pemilihan “Surat Khabar Lama” sebagai iklan drama pendek sempena Merdeka juga dilihat bersesuaian dengan watak AR Badul yang membawa karakter seorang penjual surat khabar lama, sekali gus menjadikan elemen nostalgia sebagai sebahagian daripada penceritaan.
Selain mengetengahkan karya berunsur Merdeka, OATLife turut memperkenalkan dua produk baharu menerusi rangkaian OATLife Gold Plus, iaitu OatLife Gold Plus Double Oats with Beta-Glucan & Chia dan OatLife Gold Plus Oat Soy with High Protein & Chia.
Kedua-dua produk itu dibangunkan selepas kira-kira setahun menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kandungan nutrisi dalam produk berasaskan oat.
OatLife Gold Plus Double Oats with Beta-Glucan & Chia mengandungi 3 gram beta-glucan, manakala OatLife Gold Plus Oat Soy with High Protein & Chia pula mengandungi 13 gram protein bagi setiap sachet.
Menurut pihak OATLife, peningkatan kandungan beta-glucan itu merupakan penambahbaikan berbanding produk Double Oats terdahulu yang mempunyai sekitar 1.3 gram beta-glucan.
Sementara itu, kandungan protein yang lebih tinggi dalam produk Oat Soy with High Protein & Chia dirumus bagi membantu pengguna mendapatkan sumber protein tambahan dalam pengambilan harian.
Kedua-dua produk turut menekankan konsep pemakanan yang lebih bersih dengan formulasi tanpa laktosa, sifar kolesterol dan tanpa gula tambahan.
Produk berkenaan juga menggunakan bahan berasaskan tumbuhan serta tidak menggunakan bahan pengawet, pewarna dan krimer, selari dengan usaha OATLife menawarkan pilihan minuman yang lebih berorientasikan nutrisi.
Produk baharu itu dijangka mula dipasarkan secara dalam talian pada September ini menerusi platform seperti Shopee, Lazada dan TikTok, sebelum diperluaskan ke pasar raya dan gedung runcit utama termasuk AEON, AEON BiG serta rangkaian pasar raya lain.
“Surat Khabar Lama” pula dijadualkan mula ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi OATLife Malaysia pada 22 Ogos 2026.
Drama pendek itu merupakan kesinambungan kepada usaha OATLife menggabungkan produk tempatan, dunia hiburan dan mesej kemasyarakatan dalam satu kempen yang dekat dengan masyarakat.
Sebelum ini, kempen “Kembalinya Sang Lagenda” turut menampilkan Sathiya dan Shahriza Mahmud menerusi drama pendek “Syurga Yang Terhiris”.
Menerusi “Surat Khabar Lama”, OATLife berharap kemunculan semula AR Badul bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia penonton, malah menyampaikan mesej bahawa seni, sejarah, perpaduan dan sokongan terhadap jenama tempatan merupakan nilai yang wajar terus dipelihara sempena sambutan Hari Merdeka ke-69.





Comments
Post a Comment