FNF Motorsports Dibina Dalam Tujuh Hari, Sasar Bina Ekosistem Sukan Permotoran
Berpegang kepada falsafah “Built in 7 Days. Built for the Future”, FNF Motorsports mahu menjadikan sukan permotoran sebagai platform membangunkan ekosistem perniagaan merangkumi pelancongan sukan, automotif, gaya hidup, pembangunan bakat, penajaan dan kerjasama strategik.
Pengasas FNF Motorsports, Ali Imran berkata, kejayaan membentuk pasukan itu dalam tempoh singkat mencerminkan budaya keusahawanan FNF yang berani mengambil peluang dan bertindak tanpa perlu menunggu segala-galanya sempurna.
“Dalam perniagaan, kadangkala kita tidak boleh menunggu segala-galanya sempurna. Kita perlu berani bermula. FNF Motorsports dibina dalam tujuh hari, tetapi apa yang kami mahu bina selepas itu adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan berjangka panjang,” katanya.
Menurutnya, FNF tidak mahu melihat sukan permotoran hanya dari sudut perlumbaan dan keputusan di litar, sebaliknya mahu menjadikannya platform yang mampu membina jenama, perniagaan dan komuniti.
Konsep itu bakal menghubungkan sukan permotoran dengan sektor automotif, fesyen, hiburan, kandungan digital, pengalaman pelanggan serta aktiviti komuniti bagi menarik minat khususnya dalam kalangan generasi muda dan peminat automotif.
Antara tumpuan jangka panjang FNF Motorsports adalah mengembangkan potensi pelancongan sukan atau sport tourism menerusi penganjuran acara permotoran yang mampu menarik peserta, peminat, penaja dan pelancong ke Malaysia.
Ali Imran berkata, acara sukan permotoran mempunyai kesan ekonomi yang lebih luas kerana kehadiran peserta dan peminat turut memberi manfaat kepada sektor perhotelan, makanan, beli-belah, hiburan serta aktiviti pelancongan.
“Apabila kita bercakap tentang sport tourism, kita bukan bercakap tentang perlumbaan sahaja. Kita bercakap tentang orang datang ke sesuatu lokasi, tinggal di hotel, makan, membeli-belah, menikmati hiburan dan membawa pulang satu pengalaman.
“Itulah lifestyle ecosystem yang kami mahu bina,” katanya.
Selain pelancongan sukan, FNF turut merancang meneroka peluang dalam industri automotif termasuk Approved Permit (AP), penajaan serta kerjasama dengan pemain industri dan perniagaan pihak ketiga.
Malah, FNF mempunyai aspirasi jangka panjang untuk bergerak daripada sekadar menyertai perlumbaan kepada menganjur dan memiliki platform pertandingan sukan permotorannya sendiri.
Platform berkenaan disasarkan menjadi medan mengetengahkan bakat baharu, membangunkan komuniti peminat, menarik penaja serta membuka peluang komersial kepada rakan strategik.
Tidak terhad kepada aspek komersial, FNF turut merancang pembangunan modal insan menerusi cadangan penubuhan TVET Academy yang memberi tumpuan kepada kemahiran automotif dan sukan permotoran.
Akademi itu berpotensi menawarkan latihan teknikal dan praktikal dalam bidang mekanik, kejuruteraan automotif, sukan permotoran, pengurusan pasukan serta bidang sokongan berkaitan.
Ali Imran berkata, pembangunan industri sukan permotoran memerlukan tenaga mahir dan tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan kereta atau pasukan perlumbaan.
“Kalau kita mahu membina industri motorsports yang sebenar, kita tidak boleh hanya membina kereta dan pasukan. Kita perlu membina manusia.
“Sebab itu TVET adalah sebahagian daripada visi kami. Kami mahu memberi peluang kepada anak muda untuk melihat motorsports sebagai industri dan kerjaya, bukan hanya sebagai hobi,” katanya.
Dalam membangunkan FNF Motorsports, beliau berkata pihaknya akan menggunakan pendekatan “build the brand along the way”, dengan setiap perlumbaan, cabaran, kemenangan dan kolaborasi menjadi sebahagian daripada proses membina jenama tersebut.
Kisah membangunkan FNF Motorsports dalam masa tujuh hari juga akan menjadi sebahagian daripada personal branding Ali Imran sebagai usahawan yang menekankan keberanian mengambil risiko dan keupayaan menterjemahkan idea kepada tindakan.
“FNF Motorsports dibina dalam tujuh hari. Tetapi kami tahu membina sebuah jenama yang kukuh memerlukan masa.
“Jadi kami akan membina jenama ini sepanjang perjalanan. Kami akan belajar, memperbaiki, mencuba perkara baharu dan membina komuniti bersama-sama,” katanya.
Ali Imran berkata, penubuhan FNF Motorsports hanyalah langkah pertama kepada rancangan lebih besar yang mahu dibangunkan untuk tempoh lima, 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Ini baru permulaan. Tujuh hari pertama sudah membuktikan bahawa kita boleh bermula dengan pantas.
“Sekarang cabarannya ialah bagaimana kita membina sesuatu yang mempunyai nilai, mempunyai komuniti dan boleh bertahan untuk jangka panjang,” katanya.
FNF kini turut membuka ruang kepada penaja, pelabur, rakan strategik, jenama automotif, syarikat korporat serta pemain industri untuk bekerjasama dalam pembangunan ekosistem FNF Motorsports. - HAUSTV





Comments
Post a Comment