Peguam: Nicky Liow Hadir Sebagai Orang Awam, Gambar Bersama PM Disalah Tafsir
PUCHONG – Kehadiran ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Liao Soon Hee ke sebuah program yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak seharusnya disalah tafsir sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, kata peguamnya, Datuk Rajpal Singh.
Beliau berkata, Liow hadir ke program berkenaan sebagai orang awam selepas menerima jemputan terbuka yang melibatkan penyertaan kira-kira 3,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya sebagai tetamu kehormat atau individu yang mempunyai hubungan istimewa dengan Perdana Menteri.
Menurut Rajpal, Liow juga tidak berada di kawasan tetamu kenamaan (VIP), sebaliknya bersama peserta lain sepanjang program berlangsung.
“Dia hadir sebagai orang awam. Ramai yang datang pada hari itu, kira-kira 3,000 orang. Dia bukan tetamu khas, bukan berada di khemah VIP dan bukan juga rakan peribadi Perdana Menteri.
“Selepas ucapan Perdana Menteri selesai, kawasan itu dibuka kepada orang ramai dan ramai mengambil peluang untuk bergambar, termasuk Nicky Liow. Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rajpal turut menjelaskan bahawa Liow hanya membuat sumbangan ke tabung pemuda sebelum diberikan baju-T PKR yang dipakainya ketika menghadiri program berkenaan.
Beliau berkata, tindakan pihak tertentu yang mengaitkan gambar tersebut dengan pelbagai dakwaan lampau terhadap anak guamnya adalah tidak wajar kerana kes-kes berkenaan telah melalui proses perundangan dan diputuskan oleh mahkamah.
Mengulas lanjut, Rajpal berkata Liow sebelum ini pernah berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 130B Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), namun Mahkamah Tinggi telah melepaskan dan membebaskannya selepas mendapati tiada bukti yang mencukupi.
Katanya, rayuan yang difailkan pihak pendakwaan turut ditarik balik selepas representasi dibuat, sekali gus menamatkan prosiding berkenaan.
“Bermakna kes SOSMA itu telah selesai sepenuhnya,” katanya.
Rajpal berkata, kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang pernah dikaitkan dengan Liow juga bukan membabitkan penipuan atau sindiket Macau Scam seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, katanya, ia hanya melibatkan isu pendedahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan telah diselesaikan selepas pembayaran hampir RM400,000 dibuat sebelum pertuduhan ditarik balik.
Menurut beliau, Liow kini tidak lagi berdepan sebarang siasatan atau berstatus individu yang dikehendaki pihak berkuasa, malah berhak menjalani kehidupan seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Mahkamah telah membebaskan beliau. Jadi, hentikan tuduhan bahawa dia seorang pelarian atau penjenayah. Biar dia meneruskan kehidupannya dan menyumbang kepada masyarakat.
“Kalau dia bergambar dengan Perdana Menteri atau memakai baju PKR selepas membuat sumbangan, apa salahnya? Itu hak dia sebagai seorang warganegara,” katanya.
Dalam pada itu, Rajpal berharap Ahli Parlimen yang didakwa membangkitkan isu berkenaan tampil memohon maaf kerana mengaitkan Liow dengan pelbagai tuduhan yang menurutnya tidak pernah dibuktikan di mahkamah.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa terus memfitnah anak guamnya.
“Setakat ini belum ada keputusan sama ada untuk mengeluarkan notis tuntutan atau memfailkan saman fitnah. Sidang media hari ini diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar supaya orang ramai memahami fakta yang sebenar,” katanya.


Comments
Post a Comment