Kini Bersijil Halal, India Gate Restaurant Buka Pintu Kepada Lebih Ramai Pelanggan Muslim




PETALING JAYA, 9 Julai
– Pensijilan Halal Malaysia yang diperoleh India Gate Restaurant membuka lembaran baharu buat rangkaian restoran makanan India premium itu apabila dijangka menarik lebih ramai pelanggan Muslim, di samping memperkukuh keyakinan pengguna terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti hidangan yang ditawarkan.



Pengasas dan Pengurus India Gate Restaurant, Saravanan Subramaniam, berkata pensijilan halal itu merupakan hasil perancangan dan usaha berterusan sejak dua tahun lalu selepas syarikat membangunkan dapur pusat (central kitchen) sebagai langkah memenuhi keperluan pensijilan.

Menurutnya, ketika ini India Gate Restaurant mempunyai 15 cawangan di seluruh negara dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan pelbagai kaum, termasuk masyarakat Melayu Islam yang semakin menggemari hidangan autentik India.




“Kami telah merancang untuk mendapatkan pensijilan halal sejak dua tahun lalu. Prosesnya bermula dengan mendapatkan pensijilan bagi central kitchen terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke setiap cawangan.

“Alhamdulillah, selepas central kitchen berjaya memperoleh sijil halal, cawangan pertama kami di Kelana Jaya turut menerima pensijilan tersebut. Ini merupakan satu perkembangan yang amat besar buat India Gate Restaurant,” katanya.

Beliau berkata, pensijilan halal bukan sahaja memberi keyakinan kepada pelanggan, malah dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan.

“Kami menjangkakan jualan boleh meningkat antara 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang hasil keyakinan pengguna terhadap status halal restoran kami, khususnya pelanggan Muslim,” katanya.


Saravanan berkata, proses mendapatkan pensijilan halal bukan sesuatu yang mudah memandangkan India Gate Restaurant menawarkan lebih 147 menu autentik India yang memerlukan pematuhan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi pasukan halal syarikat yang melibatkan kakitangan operasi, chef, ibu pejabat serta semua warga kerja yang memastikan setiap aspek operasi mematuhi keperluan pensijilan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui sebelum ini beranggapan pensijilan halal hanya berkaitan tuntutan agama, namun persepsi itu berubah selepas melalui sendiri keseluruhan proses permohonan.



“Saya kini faham bahawa sebahagian besar pensijilan halal memberi penekanan kepada aspek kebersihan, sanitasi dan keselamatan makanan. Sebagai pengusaha restoran, tanggungjawab kami adalah memastikan setiap makanan yang dihidangkan kepada pelanggan sentiasa bersih, selamat dan berkualiti.

“Pelanggan datang ke restoran kami untuk menikmati makanan. Mereka berhak mendapat hidangan yang disediakan mengikut standard kebersihan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, pensijilan halal turut mewujudkan sistem pemantauan yang lebih sistematik apabila pasukan khas ditugaskan memantau kebersihan dapur, pengurusan bahan mentah serta pematuhan SOP setiap hari.

Menurutnya, pensijilan halal bukan sekadar diperoleh sekali, malah perlu dipelihara secara berterusan melalui audit dalaman, pemeriksaan berkala serta proses pembaharuan sijil mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Pensijilan halal bukan untuk sehari. Ia perlu dijaga setiap hari. Dengan adanya pasukan halal, saya lebih yakin setiap makanan yang disediakan di dapur kami memenuhi standard kebersihan dan selamat untuk dinikmati pelanggan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas bimbingan sepanjang proses pensijilan, selain menghargai usaha pasukan halal India Gate Restaurant termasuk bahagian operasi, chef, kakitangan ibu pejabat serta semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Saravanan berharap lebih ramai pengusaha restoran makanan India tampil mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia selepas memahami manfaatnya yang bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan, malah membantu memperkukuh pengurusan operasi dan standard kebersihan restoran.

“Saya berharap lebih ramai pengusaha restoran India memohon pensijilan halal. Apabila mereka memahami kelebihannya, mereka akan melihat bahawa pensijilan halal bukan hanya untuk memenuhi keperluan pelanggan Muslim, tetapi juga membantu meningkatkan kualiti operasi, kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Pensijilan Halal Malaysia sebagai antara sistem pensijilan halal yang paling diyakini di dunia dan menjadi kebanggaan negara kerana pengiktirafannya di peringkat antarabangsa.

“Kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana mempunyai pensijilan halal bertaraf dunia. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah membantu mengangkat industri makanan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.


Comments

Popular posts from this blog

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau