Emas Preloved Tanpa Upah Tarikan Utama Sri Semantan Kembang Sayap ke Pasir Gudang
PASIR GUDANG, 20 Julai – Konsep emas preloved tanpa caj upah terus menjadi kelebihan kompetitif Kedai Emas Sri Semantan (KESS) apabila syarikat itu mengembangkan empayar perniagaannya dengan pembukaan cawangan ke-20 di Kota Masai, di sini, pada Ahad.
Majlis perasmian cawangan baharu itu disempurnakan Pengerusi dan Pengasas KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, sekali gus menjadikan ia cawangan kedua syarikat di Johor selepas Batu Pahat serta berperanan sebagai Wisma Sri Semantan bagi wilayah Selatan yang meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman berkata, konsep emas preloved yang ditawarkan syarikat terus menerima sambutan menggalakkan kerana membolehkan pelanggan memiliki emas pada harga lebih kompetitif tanpa dikenakan caj upah.
Menurutnya, selain menawarkan harga yang lebih berpatutan, pelanggan turut menikmati kemudahan nilai tukar beli (trade-in) sehingga 100 peratus yang memberi pulangan lebih menguntungkan.
"Keunikan kami ialah memberi fokus kepada urus niaga emas preloved. Kami menawarkan nilai tukar beli sehingga 100 peratus, sekali gus memberi lebih manfaat kepada pelanggan setia.
"Sebab itu perkembangan Kedai Emas Sri Semantan berlaku begitu pantas sehingga berjaya membuka 20 cawangan di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian.
Beliau berkata, permintaan terhadap emas masih kekal memberangsangkan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan konflik di beberapa negara.
Katanya, prestasi jualan di semua cawangan berada pada tahap stabil, malah beberapa cawangan berjaya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat berkata, pemilihan Pasir Gudang sebagai lokasi cawangan baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik, sekali gus memudahkan pelanggan dari Singapura mendapatkan perkhidmatan syarikat.
Menurutnya, sebelum ini pelanggan dari republik berkenaan kebanyakannya mendapatkan perkhidmatan di cawangan Shah Alam dan Kajang.
"Dengan pembukaan cawangan di Pasir Gudang ini, urusan pelanggan kami dari Singapura menjadi lebih mudah. Lokasinya lebih dekat dan strategik, sekali gus dijangka mampu menarik lebih ramai pelanggan dari negara jiran itu," katanya.
Sempena pembukaan cawangan berkenaan, KESS menawarkan potongan harga istimewa sebanyak RM20 bagi setiap gram untuk pembelian emas selama dua hari, selain terus menawarkan koleksi emas preloved tanpa caj upah sebagai tarikan kepada pelanggan.





Comments
Post a Comment