Bukan Sekadar Jual Emas, Kedai Emas Sri Semantan (KESS) Bina Komuniti Melalui Budaya, Sukan dan Literasi Kewangan
SENAWANG, 19 Julai – Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus memperkukuh peranannya dalam masyarakat apabila memperkenalkan pendekatan yang menggabungkan elemen kebudayaan, sukan dan pendidikan kewangan berasaskan emas, sekali gus membuktikan syarikat itu bukan sekadar menjalankan perniagaan emas, malah komited membangunkan komuniti.
Pendekatan itu diperkenalkan sempena pembukaan cawangan ke-19 KESS, iaitu di Senawang, yang menjadi platform syarikat untuk memperluaskan peranannya dalam melahirkan masyarakat yang lebih celik kewangan melalui pemilikan dan pengurusan aset emas.
Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat, berkata pada peringkat awal penubuhan syarikat, KESS memberi penekanan kepada usaha mempromosikan warisan budaya tempatan seperti Dikir Barat, selaras dengan minat pengasasnya, Tuan Mohamad Hafizal Bin Hj Mahmood, yang merupakan peminat seni tradisional tersebut.
“Pada permulaannya, kami memperkenalkan KESS bersama elemen kebudayaan kerana itulah identiti yang ingin kami tonjolkan. Namun kini sudah tiba masanya untuk kami mengembangkan lagi peranan kepada komuniti yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Cawangan KESS Senawang.
Menurut Shaaini, KESS tidak mahu dikenali hanya sebagai sebuah syarikat yang menjual emas, sebaliknya berhasrat menjadi platform yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi inisiatif yang memberi nilai tambah kepada komuniti.
Katanya, selepas memperkenalkan jenama melalui aktiviti kebudayaan, syarikat kini mula melebarkan sayap ke bidang sukan sebagai satu lagi medium untuk mendekati masyarakat.
“Komuniti kami merangkumi semua lapisan masyarakat. Sebab itu kami mahu bergerak lebih jauh daripada kebudayaan semata-mata dan mula mendekati bidang sukan. Bola sepak dipilih sebagai langkah permulaan kerana ia merupakan sukan rakyat dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat.
“Insya-Allah selepas ini kami juga merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak jenis sukan pada masa akan datang,” katanya.
Shaaini berkata, penglibatan KESS dalam arena sukan bukan sekadar berbentuk penajaan, sebaliknya membawa misi untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan pembinaan aset dalam kalangan atlet.
Menurutnya, ramai pemain bola sepak, termasuk bekas pemain profesional, berdepan cabaran kewangan selepas menamatkan kerjaya kerana terlalu bergantung kepada pendapatan ketika masih aktif bermain.
“Kami melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab. Sebab itu kami mahu mendidik pemain dan atlet supaya lebih bijak merancang kewangan serta membina aset ketika masih berada di puncak kerjaya.
“KESS bukan sekadar menjual emas. Kami turut memberikan pendidikan mengenai cara mengurus aset agar ia mampu memberikan keuntungan dan menjadi jaminan kewangan untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, usaha mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan merupakan antara matlamat utama KESS bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memahami bahawa emas bukan sekadar barang kemas, malah merupakan aset bernilai yang boleh membantu menjamin kestabilan kewangan.
“Kami mahu masyarakat melihat emas sebagai satu bentuk simpanan yang boleh diwarisi, dimanfaatkan ketika kecemasan dan menjadi sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang,” katanya.
Shaaini berkata, KESS berharap pendekatan yang menggabungkan kebudayaan, sukan dan pendidikan kewangan itu dapat memberi impak positif kepada masyarakat serta melahirkan komuniti yang lebih celik kewangan.
Beliau turut mengajak orang ramai mengunjungi cawangan-cawangan KESS untuk mendapatkan pelbagai pilihan barang kemas, emas pelaburan serta khidmat nasihat berkaitan simpanan emas.
“KESS kini mempunyai tiga cawangan di Negeri Sembilan, iaitu di Senawang, Nilai dan Bahau. Kami mengalu-alukan orang ramai datang ke mana-mana cawangan untuk mendapatkan penerangan mengenai simpanan dan pelaburan emas.
“Harapan kami bukan sekadar menjual emas, tetapi membantu lebih ramai masyarakat membina simpanan yang bernilai dan memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka untuk jangka panjang,” katanya.
Pembukaan cawangan ke-19 KESS di Senawang mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memperluaskan rangkaian perniagaannya di seluruh negara, di samping memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah syarikat yang bukan sahaja menawarkan produk emas berkualiti, malah aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pemerkasaan budaya, penglibatan dalam bidang sukan dan pendidikan literasi kewangan. - HAUS TV MEDIA





Comments
Post a Comment