Apa Jadi Apabila Arkitek Tinggalkan Blueprint? Jawapannya Bermula 26 Julai - 9 Ogos di Publika


KUALA LUMPUR, 24 Julai – Selama ini arkitek dikenali sebagai individu yang mencorakkan wajah bandar menerusi reka bentuk bangunan dan pembangunan fizikal. Namun, pernahkah terfikir apakah yang akan berlaku apabila mereka meninggalkan blueprint, mengetepikan kehendak pelanggan dan diberi kebebasan sepenuhnya untuk berkarya sebagai seorang seniman?

Persoalan itu bakal dijawab menerusi Art by Architects: Beyond the Blueprints, pameran seni yang berlangsung dari 26 Julai hingga 9 Ogos 2026 di KL City Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur, yang menghimpunkan karya daripada 16 arkitek Malaysia merangkumi empat generasi.

Dianjurkan oleh KL City Art Gallery dengan sokongan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM), pameran ini disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia dan rantau ini, khusus untuk memperkenalkan arkitek profesional sebagai pengkarya seni di luar amalan teknikal mereka.


Kurator pameran, Maizon Omar, berkata idea pameran itu tercetus daripada persoalan yang telah lama bermain di fikirannya mengenai potensi kreativiti seorang arkitek apabila mereka tidak lagi terikat dengan fungsi dan peraturan reka bentuk bangunan.

"Kita mengenali arkitek sebagai individu yang membentuk landskap fizikal dan budaya negara. Tetapi apakah yang berlaku apabila seorang arkitek diberikan kanvas kosong, tanpa blueprint, tanpa kehendak pelanggan dan tanpa peraturan pembangunan?

"Adakah mereka masih seorang arkitek atau sebenarnya mereka juga seorang artis? Pameran ini mengajak masyarakat mencari sendiri jawapan itu melalui karya-karya yang dipamerkan," katanya.

Menurut beliau, Beyond the Blueprints membawa maksud melangkaui pelan bangunan, sekali gus memberi ruang kepada arkitek menterjemahkan imaginasi, pengalaman hidup dan emosi mereka melalui seni visual.

"Pameran ini bukan sekadar mempamerkan lukisan, tetapi memperlihatkan cara arkitek berfikir, melihat dunia dan mengekspresikan diri apabila mereka bebas daripada segala batasan profesion," katanya.

Beliau menyifatkan pameran itu sebagai satu detik bersejarah kerana buat pertama kalinya arkitek di Malaysia diraikan atas nilai artistik karya mereka, bukan semata-mata atas pencapaian dalam bidang teknikal.


Sementara itu, penyelaras pameran, Ar. Malek Hassan, berkata idea menghimpunkan karya seni arkitek sebenarnya lahir daripada rutin harian mereka yang menjadikan aktiviti melukis sebagai terapi selepas mengharungi tekanan kerja.

"Setiap hari kami sibuk dengan tugasan di pejabat. Selepas selesai bekerja, kami akan mengambil sedikit masa untuk diri sendiri dengan melukis atau membuat lakaran.

"Ia menjadi terapi kepada kami. Daripada situ saya sedar ramai rakan arkitek turut melakukan perkara yang sama dan berkongsi hasil karya mereka di media sosial," katanya.

Menurut beliau, daripada perkongsian tersebut tercetus idea untuk menghimpunkan hasil karya mereka dalam sebuah pameran yang akhirnya mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti arkitek.

Katanya, walaupun pada peringkat awal hanya sekitar 10 arkitek dikenal pasti untuk menyertai pameran itu, semakin ramai yang menyatakan minat sehingga penyertaan terpaksa dihadkan kepada 16 orang berikutan kekangan ruang.

Beliau berharap pameran itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan menjadi platform kepada lebih ramai arkitek mengetengahkan bakat seni mereka kepada masyarakat.

Himpunkan empat generasi arkitek

Pameran itu menghimpunkan karya daripada Ar. Hijjas Kasturi, Dato' Ar. Hajeedar Abdul Majid, Ar. Lee Chor Wah, Dato' Ar. Idr. Azman Md. Hashim, Ar. Ahmad Hilmy, Ar. Anand Krishnan, Ar. Zulgaisar Hamidin, Ar. Dr. Mariam, Ar. Malek Hassan, Ar. Alan Teh, Ar. Adrianta Aziz, Ar. Rashdan Daud, Ar. Tan Bee Eu, Ar. Rushdina Ismail, Ar. Fakhru Rahman dan Ar. Ho Chin Keng, sekali gus memperlihatkan evolusi pemikiran dan kreativiti arkitek daripada empat generasi berbeza.


Tokoh arkitek negara, Dato Ar. Hajeedar Abdul Majid berkata arkitek lazimnya meninggalkan bangunan sebagai legasi, manakala pelukis meninggalkan karya seni.

Beliau berkata, pameran ini memberi peluang kepada masyarakat melihat satu lagi bentuk warisan yang ditinggalkan oleh arkitek, iaitu cara mereka melihat dunia dan menterjemahkan idea melalui karya seni.

Menurutnya, seni bina merupakan seni yang didiami manusia, manakala lukisan ialah seni yang hidup dalam diri setiap arkitek.

"Apabila karya ini dipersembahkan kepada masyarakat, ia bukan sekadar pameran seni tetapi satu jambatan yang menghubungkan dunia seni bina dengan seni visual," katanya.

Dokumentasi sejarah dalam coffee table book

Bagi melengkapkan pameran berkenaan, sebuah coffee table book turut diterbitkan sebagai dokumentasi rasmi yang menghimpunkan karya kesemua peserta bersama penerangan mengenai falsafah, inspirasi dan proses kreatif di sebalik setiap hasil seni.

Penerbitan itu turut memuatkan artikel daripada Pengarah Balai Seni Negara, kurator seni Nasir Baharuddin serta pengumpul seni terkenal Zain Azahari, selain penulisan yang mengupas perkembangan seni bina dan hubungannya dengan seni visual di Malaysia.

Selain itu, buku tersebut turut memaparkan falsafah setiap arkitek mengenai karya yang dihasilkan, menjadikannya bukan sekadar katalog pameran, malah rekod sejarah kepada penganjuran Art by Architects: Beyond the Blueprints.


Sebahagian daripada KLAF 2026 dan DATUM KL 2026

Pameran ini berlangsung serentak dengan KL Architecture Festival (KLAF) 2026 dan DATUM KL 2026, sekali gus menjadi antara acara penting dalam kalendar seni bina negara yang dijangka menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Majlis perasmian pameran akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, pada 26 Julai 2026 di KL City Art Gallery, Publika.

Orang ramai dijemput mengunjungi Art by Architects: Beyond the Blueprints sepanjang 26 Julai hingga 9 Ogos 2026 bagi menyaksikan sendiri bagaimana arkitek Malaysia menterjemahkan pengalaman, imaginasi dan kreativiti mereka ke dalam karya seni yang membuktikan bahawa di sebalik setiap blueprint, tersimpan jiwa seorang seniman.

Masuk adalah percuma, dan pameran ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana seni bina dan seni visual bertemu dalam satu pengalaman yang unik, sekali gus mencipta satu lembaran baharu dalam landskap seni dan seni bina Malaysia. - HAUS TV MEDIA

Comments

Popular posts from this blog

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau