TVET Malaysia Melangkah Global: 1,000 Pelajar Bakal Terima Pensijilan Dwi Bertaraf Antarabangsa
Inisiatif berimpak tinggi itu dijangka membuka laluan lebih luas kepada graduan TVET Malaysia untuk menembusi pasaran pekerjaan global serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif NOCN, berkata, kerjasama yang dibangunkan bersama JPK sejak setahun lalu kini memasuki fasa pelaksanaan menerusi projek perintis yang melibatkan lebih 1,000 pelajar daripada 30 pusat bertauliah di seluruh negara.
Menurut beliau, kerjasama tersebut bukan bertujuan menggantikan sistem TVET sedia ada, sebaliknya memperkukuhkan nilai kelayakan yang telah dibangunkan Malaysia dengan pengiktirafan antarabangsa.
“Apa yang Malaysia lakukan dalam pembangunan kemahiran adalah sangat baik. Peranan kami adalah menambah nilai kepada sistem tersebut supaya ia dapat diiktiraf dengan lebih meluas di peringkat global,” katanya pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik JPK-NOCN di sini.
Beliau berkata, dalam dunia pekerjaan yang semakin tanpa sempadan, pengiktirafan antarabangsa terhadap sesuatu kelayakan memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan majikan serta memudahkan mobiliti tenaga kerja merentasi negara.
Katanya, individu yang memiliki pensijilan yang diiktiraf secara global mempunyai peluang lebih besar untuk membina kerjaya di luar negara dan memperoleh pengalaman antarabangsa yang bernilai.
TVET Sebagai Laluan Kerjaya Profesional
Sementara itu, Ketua Pengarah JPK,YBRS. IR. TS. Dr. Kamaruzaman B. Hj. MD. Ali berkata, kerjasama tersebut selaras dengan aspirasi Pelan Strategik JPK 2026-2030 yang memberi fokus kepada pengantarabangsaan TVET Malaysia.
Menurut beliau, antara agenda utama yang sedang digerakkan termasuk memperluaskan pensijilan dwi, memperkukuhkan kerjasama akreditasi antarabangsa serta menawarkan program pensijilan kemahiran Malaysia kepada pelajar luar negara.
“Melalui projek perintis ini, seramai 1,000 pelajar akan menerima manfaat daripada pensijilan dwi JPK-NOCN. Pada masa sama, kita turut bekerjasama dengan Persatuan My-Personnel bagi melahirkan lebih ramai penilai bertauliah bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut turut menyokong agenda kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Teknologi Digital dan AI Jadi Pemangkin
Selain pengantarabangsaan, JPK turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem latihan kemahiran bagi memastikan program TVET negara kekal relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
Dalam masa sama, akses kepada pendidikan kemahiran turut diperluaskan kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta individu yang kurang mendapat peluang pendidikan formal.
Menurut Kamarulzaman, pendekatan tersebut penting bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan modal insan negara.
Ubah Persepsi Terhadap TVET
Beliau turut menegaskan bahawa TVET tidak lagi wajar dilihat sebagai pilihan kedua atau laluan bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.
Sebaliknya, katanya, pendidikan berasaskan kemahiran kini menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi negara dan menawarkan prospek kerjaya yang kompetitif serta bertaraf profesional.
“Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir untuk mencapai aspirasi negara maju menjelang 2030. Oleh itu, TVET perlu dilihat sebagai pilihan utama dalam pembangunan modal insan dan bukan lagi alternatif semata-mata,” katanya.
Tambah beliau, graduan yang memperoleh pensijilan dwi JPK-NOCN berpeluang menggunakan kelayakan tersebut untuk bekerja atau melanjutkan pengajian di United Kingdom serta negara-negara Komanwel yang mengiktiraf pensijilan NOCN.
Potensi Dikembangkan Ke Seluruh Negara
Melihat sambutan positif terhadap inisiatif tersebut, JPK merancang memperluaskan pelaksanaannya ke lebih banyak bidang latihan pada masa hadapan.
Ini kerana JPK ketika ini mempunyai lebih 3,000 program latihan dan lebih 1,500 pusat bertauliah di seluruh negara yang berpotensi menyertai program pensijilan dwi berkenaan.
Kerjasama JPK-NOCN dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh kedudukan TVET Malaysia di persada antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada graduan tempatan untuk bersaing dan berjaya dalam ekonomi global yang semakin mencabar.








Comments
Post a Comment