Always Robots Lancar Robot Humanoid AI di Malaysia, Pacu Era Baharu Automasi Pintar
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – Malaysia melangkah setapak lagi ke hadapan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila Always Robots Sdn. Bhd. secara rasmi dilancarkan menerusi satu sidang media di KL Gateway Bangsar, sekali gus memperkenalkan teknologi robot humanoid dan robot berkaki empat (quadruped) berasaskan AI Berjasad (Embodied AI) bagi mempercepatkan transformasi automasi pintar di negara ini.
Ditubuhkan sebagai usaha sama strategik antara Always Marketing Shanghai, SparkRobot dan AGIBOT, Always Robots berperanan sebagai Leasing Alliance rasmi bagi robot humanoid dan robot quadruped keluaran AGIBOT di Malaysia. Kerjasama ini menggabungkan kepakaran pemasaran dan pembangunan pasaran Always Marketing, kekuatan ekosistem teknologi SparkRobot serta inovasi AI Berjasad AGIBOT bagi menyediakan penyelesaian robotik yang lebih mudah diakses oleh sektor industri dan komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif Always Robots, Patrick Goh, berkata pelancaran syarikat itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi robotik terkini, malah menjadi titik permulaan kepada pembinaan ekosistem robotik pintar yang mampu memperkukuhkan daya saing Malaysia dalam era ekonomi digital.
"Hari ini merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja kepada rakan pengasas kami, malah kepada keseluruhan landskap teknologi Malaysia. Dengan menggabungkan kekuatan Always Marketing, SparkRobot dan AGIBOT, kami sedang membina ekosistem robotik lengkap dari hujung ke hujung.
"Kami bukan sekadar menjual robot, sebaliknya menyediakan penyelesaian automasi yang komprehensif bagi membantu organisasi meningkatkan produktiviti, memacu inovasi serta memperkasakan potensi tenaga kerja merentasi pelbagai sektor," katanya.
Sempena pelancaran tersebut, Always Robots turut memperkenalkan portfolio robot pintar AGIBOT yang merangkumi Robot Humanoid Siri X, Robot Humanoid Siri A serta Robot Quadruped Siri D.
Barisan robot ini dibangunkan menggunakan teknologi AI Berjasad yang membolehkannya memahami arahan, mempelajari tugasan yang kompleks, berinteraksi secara semula jadi melalui komunikasi suara serta melaksanakan pelbagai fungsi dengan keupayaan pergerakan yang canggih.
Selain menawarkan teknologi robotik terkini, syarikat itu turut mengumumkan pelan pengembangan yang memberi tumpuan kepada sektor peruncitan, pendidikan, perkhidmatan komersial serta industri acara dan hiburan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan automasi pintar.
Bagi mempercepatkan penggunaan teknologi tersebut di Malaysia, Always Robots memperkenalkan model perniagaan hibrid yang menggabungkan jualan terus kepada pelanggan dengan rangkaian pengedaran B2B yang kukuh.
Model itu turut menawarkan penyelesaian pajakan yang fleksibel, skim rent-to-own (sewa untuk dimiliki), selain menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan selepas jualan yang menyeluruh bagi memastikan penggunaan robotik dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Menurut Patrick, permintaan terhadap automasi pintar di Malaysia kini berkembang pesat sejajar dengan keperluan industri untuk meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.
"Pasaran robotik Malaysia berkembang dengan amat pesat dan permintaan terhadap automasi pintar kini berada pada tahap tertinggi.
"Dengan pembukaan bilik pameran utama kami di Kuala Lumpur tidak lama lagi, kami mahu membawa teknologi robotik lebih dekat kepada komuniti perniagaan. Matlamat jangka panjang kami adalah memperluaskan penggunaan robotik pintar di Malaysia serta membantu meletakkan negara sebagai antara peneraju penggunaan AI di Asia Tenggara," katanya.
Majlis pelancaran turut menampilkan demonstrasi secara langsung keupayaan robot humanoid dan quadruped yang mempamerkan interaksi pintar bersama manusia, keupayaan navigasi autonomi, komunikasi berasaskan AI serta pelaksanaan pelbagai tugasan dunia sebenar.
Dalam pada itu, SparkRobot yang merupakan antara pemegang saham utama syarikat turut memperkenalkan peluang kerjasama strategik kepada pengedar, peniaga, pelabur serta rakan industri bagi memperluaskan penggunaan robotik pintar di Malaysia.
Always Robots turut menyasarkan untuk mencapai keuntungan dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian robotik pintar terkemuka di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Berteraskan slogan "Intelligence for Everyday Life" (Kecerdasan untuk Kehidupan Seharian), syarikat itu komited menjadikan teknologi AI Berjasad lebih mudah diakses oleh pelbagai sektor, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti, mempercepat inovasi serta memperkasakan potensi manusia melalui penggunaan robotik pintar dalam kehidupan dan operasi harian.




Comments
Post a Comment