KL Street Arts Festival 2026 Bakal Gegarkan Dataran Merdeka Jun Ini
KUALA LUMPUR – Dataran Merdeka bakal dipenuhi aura seni dan budaya urban menerusi KL Street Arts Festival 2026 yang berlangsung pada 20 Jun ini di Jalan Raja bermula 12 tengah hari hingga 11 malam.
Festival ini menghimpunkan pelbagai elemen seni jalanan termasuk persembahan muzik dan buskers, seni visual, street performers, reruai seni dan kraftangan, seminar kreatif serta aktiviti interaktif untuk pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.
Suasana festival dijangka lebih meriah pada waktu malam menerusi KL Street Jam yang menampilkan artis seperti Baba Andy, Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza’s Velvettones serta persembahan khas Artis & Kombo Budaya DBKL.
Selain hiburan, pengunjung turut berpeluang menyertai sesi perkongsian ilmu bersama penggiat seni tempatan termasuk Cheb Ali, Mr Labu dan Yosh Studio yang akan berkongsi mengenai seni khat, seni persembahan dan origami.
Festival ini turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi kempen “Muzik Tanpa Dadah” bagi menyebarkan mesej gaya hidup sihat dan bebas dadah melalui medium seni dan muzik.
Hampir 20 pempamer seni dan kraftangan tempatan juga akan mengambil bahagian dengan mempamerkan pelbagai hasil karya kreatif sepanjang acara berlangsung.
KL Street Arts Festival 2026 dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dengan kerjasama DBKL serta sokongan Yayasan Hasanah menerusi inisiatif Arts for All Seasons (ArtsFAS).
Festival ini terbuka secara percuma kepada orang ramai dan dijangka menjadi platform penting dalam memperkasakan seni urban serta bakat kreatif tempatan.


Comments
Post a Comment