Hospital Pakar Damansara 2 dan Hope for Children Ringankan Beban Pesakit Cilik
Kerjasama yang turut mendapat sokongan Hospital Tunku Azizah (“HTA”) itu diwujudkan bagi membantu pesakit kanak-kanak yang berdepan tempoh menunggu panjang dalam sistem penjagaan kesihatan awam, sekali gus memberi peluang kepada mereka menerima rawatan lebih cepat dan teratur.
Melalui program tersebut, pesakit pediatrik yang layak dan dikenal pasti oleh HTA melalui HFCF akan menjalani prosedur pembedahan tertentu di DSH2, termasuk rawatan hernia dan testis tidak turun (Undescended Testis – UDT).
![]() |
| Dari Kiri Pengasas Yayasan Hope for Children, Michael KC Tan, Pakar Bedah Pediatrik DSH2, Dr Abdul Razak Mohammed |
Pakar Bedah Pediatrik DSH2, Dr Abdul Razak Mohammed berkata, program kerjasama itu memberi fokus kepada kes angin pasang dan masalah testis tidak turun sempurna dalam kalangan kanak-kanak kerana kedua-dua keadaan memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi serius.
Menurut beliau, senarai menunggu yang panjang di hospital kerajaan menyebabkan pesakit perlu menunggu lama untuk pembedahan, justeru kerjasama bersama Yayasan Hope for Children membantu mempercepatkan rawatan selain mengurangkan beban ibu bapa dan hospital kerajaan.
“Hospital kerajaan seperti Hospital Tunku Azizah turut merujuk kes-kes tertentu kepada program ini bagi membantu mengurangkan beban pesakit, ibu bapa serta sistem kesihatan kerajaan secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Yayasan Hope for Children, Michael KC Tan berkata, pihak yayasan menyasarkan untuk membantu lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan pembedahan kritikal menjelang penghujung tahun ini melalui kerjasama bersama hospital pakar swasta.
Beliau berkata, ketika ini sekitar 50 kanak-kanak menerima bantuan setiap tahun, namun jumlah itu dijangka meningkat sekiranya lebih banyak kes dapat disokong dan diteliti oleh pihak hospital.
“Kami mahu membantu lebih ramai kanak-kanak secepat mungkin kerana ramai yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan, terutama di hospital kerajaan yang mempunyai senarai menunggu panjang.
“Sebab itu kami bekerjasama dengan hospital untuk mengenal pasti kes paling kritikal terlebih dahulu supaya mereka boleh menjalani pembedahan dengan segera. Keutamaan kami adalah memastikan anak-anak ini tidak terus menanggung penderitaan terlalu lama,” katanya.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu membantu mengurangkan beban keluarga yang memerlukan rawatan segera untuk anak-anak mereka, selain mengelakkan komplikasi kesihatan yang boleh menjejaskan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak sekiranya rawatan tertangguh terlalu lama.
Di bawah kerjasama tersebut, HTA akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan intervensi pembedahan, manakala HFCF akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan serta bantuan logistik berkaitan. DSH2 pula menyediakan kepakaran pembedahan, kemudahan bilik bedah, penjagaan kejururawatan dan rawatan pasca operasi bagi memastikan pesakit menerima penjagaan terbaik.
Program itu turut mendapat sokongan pakar bedah pediatrik dan tenaga profesional kesihatan yang komited dalam memberikan penjagaan berkualiti kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.
Wakil organisasi yang terlibat menyifatkan kerjasama rentas sektor seperti ini amat penting dalam memperkukuh akses penjagaan kesihatan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, khususnya dalam bidang pediatrik.
Selain membantu mengurangkan senarai menunggu pembedahan pediatrik, inisiatif ini turut mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan organisasi komuniti demi masa depan kesihatan kanak-kanak di Malaysia.
Majlis pelancaran rasmi program itu berlangsung di DSH2 dengan kehadiran pemimpin sektor kesihatan, wakil HFCF dan HTA, profesional perubatan serta tetamu jemputan.
Melalui kerjasama ini, semua pihak berharap lebih ramai pesakit kanak-kanak dapat menerima rawatan tepat pada waktunya sekali gus memberi peluang kepada mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
Maklumat lanjut:
kpjhealth.com.my�
hopeforchildren.foundation�
Mengenai Hospital Pakar Damansara 2
merupakan hospital pakar moden di bawah rangkaian KPJ Healthcare Berhad yang menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan komprehensif dengan kepakaran perubatan terkini, kemudahan moden dan penjagaan berpusatkan pesakit.
Mengenai Yayasan Hope for Children
ialah sebuah organisasi bukan kerajaan yang komited membantu kanak-kanak kurang bernasib baik mendapatkan akses kepada rawatan perubatan dan pembedahan melalui kerjasama strategik bersama institusi kesihatan dan komuniti.







Comments
Post a Comment