Ayuh Swing Sambil Berbakti! Golf Amal Selebriti Kembali Meriah, Satukan Artis & Korporat Demi Kebajikan
KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Persatuan Karyawan Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan penggiat seni tempatan menerusi penganjuran Golf Amal Selebriti Kali Ke-5 yang bakal berlangsung pada 10 Mei 2026 di Kota Seriemas Golf & Country Club.
Acara tahunan ini bukan sekadar kejohanan golf, malah menjadi platform kebajikan penting bagi mengumpul dana untuk membantu artis serta penggiat industri filem yang memerlukan, khususnya di bawah inisiatif PROFIMA.
Program dijadual bermula jam 12.00 tengah hari itu akan diakhiri dengan Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah, menghimpunkan selebriti, pemain industri dan komuniti korporat dalam satu acara berprestij.
Edisi kelima ini dianjurkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus memperkukuh sinergi antara industri seni, sektor korporat dan masyarakat melalui pendekatan tanggungjawab sosial (CSR).
Menurut Persatuan Karyawan Malaysia, penganjuran ini membuktikan kesinambungan kejayaan acara terdahulu yang pernah diadakan di beberapa lokasi termasuk Templer Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kota Seriemas Golf & Country Club.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah FINAS, Hans Isaac, serta Azmir Saifuddin Mutalib atas sokongan berterusan termasuk penyertaan langsung dalam program ini.
Sehubungan itu, syarikat korporat, GLC dan institusi kewangan diseru tampil menyokong melalui pakej penajaan yang ditawarkan, antaranya Gold Sponsor bernilai RM10,000 yang melayakkan lapan pemain atau dua flight percuma, Silver Sponsor RM5,000 (empat pemain atau satu flight), serta Hole Sponsor RM1,000 (dua pemain percuma).
Penaja turut berpeluang menerima liputan media, publisiti rasmi serta pengiktirafan sepanjang acara termasuk sesi penyerahan mock cheque.
Golf Amal Selebriti bukan hanya acara sukan, tetapi platform yang menyatukan pelbagai pihak dalam usaha membantu golongan seni yang memerlukan.
“Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi satu gerakan kebajikan yang memberi impak kepada artis dan pekerja industri yang telah banyak menyumbang kepada seni dan budaya negara,” menurut penganjur.
Penyertaan individu turut dibuka kepada pemain golf dan orang ramai yang ingin menyumbang kepada usaha kebajikan ini.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia melalui Public Bank 3108024130.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Dato’ Freddie Fernandez di talian 012-2071400, emel fredez2009@gmail.com atau melayari laman sesawang karyawan.my.
Ayuh semua kaki golf, beraksi sambil berbakti.

Comments
Post a Comment