Smart Balance dan Anti-Gravity Treadmill Bantu Pemulihan Pesakit Strok di KPJ Damansara

PETALING JAYA – Pemulihan pesakit strok kini dibantu dengan penggunaan teknologi rehabilitasi moden seperti Smart Balance platform dan anti-gravity treadmill yang disediakan di KPJ Damansara Specialist Hospital 2.







Kemudahan tersebut merupakan sebahagian daripada perkhidmatan di Neuroscience & Stroke Centre of Excellence, yang menyediakan rawatan serta pemulihan komprehensif bagi pesakit yang mengalami masalah neurologi termasuk strok.

Dr. Teh Pei Chiek


Pakar Neurologi, Dr. Teh Pei Chiek, berkata strok kini semakin kerap berlaku dalam kalangan golongan lebih muda, khususnya mereka yang berumur antara 40 hingga 60 tahun.


Menurut beliau, sebelum ini kebanyakan pesakit strok terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas, namun trend itu kini menunjukkan perubahan ketara.


“Sekarang kita semakin banyak melihat pesakit strok dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun. Perubahan gaya hidup seperti pemakanan tidak sihat, tekanan kerja yang tinggi dan kurang tidur antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini,” katanya.


Beliau berkata golongan yang bekerja dalam sektor seperti kewangan, perniagaan dan industri juga sering terdedah kepada tekanan kerja yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penyakit strok.


Dr. Teh turut menegaskan bahawa strok merupakan situasi kecemasan perubatan dan pesakit perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom awal.


“Dalam rawatan strok kita sering menggunakan istilah ‘time is brain’. Ini bermaksud semakin cepat pesakit menerima rawatan, semakin besar peluang untuk menyelamatkan fungsi otak,” katanya.


Menurut beliau, rawatan awal biasanya diberikan dalam tempoh empat setengah jam selepas simptom bermula, namun dengan perkembangan teknologi perubatan, rawatan tertentu kini boleh dilakukan sehingga 24 jam dalam kes yang sesuai.


Dr. Teh menjelaskan kira-kira 80 hingga 85 peratus kes strok berpunca daripada saluran darah tersumbat, manakala selebihnya disebabkan oleh pendarahan dalam otak.






Antara rawatan yang boleh diberikan termasuk ubat pencair darah bagi melarutkan darah beku serta prosedur mechanical thrombectomy untuk mengeluarkan darah beku dari saluran darah di otak.


Bagaimanapun, proses pemulihan selepas strok juga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit kembali menjalani kehidupan harian.


Ketua Rehabilitasi KPJ Damansara Specialist Hospital 2, Puan Hazimatul Akmal, berkata pusat berkenaan menyediakan kemudahan rehabilitasi moden bagi membantu pesakit strok mendapatkan semula keseimbangan dan keupayaan bergerak.


Menurut beliau, antara teknologi yang digunakan termasuk Smart Balance platform, iaitu sistem latihan keseimbangan untuk membantu pesakit yang mengalami masalah imbangan selepas strok.


“Ramai pesakit selepas strok mengalami masalah keseimbangan. Melalui Smart Balance platform ini kita boleh melatih semula keupayaan pesakit untuk berdiri dan bergerak dengan lebih stabil,” katanya.


Selain itu, hospital berkenaan turut menyediakan anti-gravity treadmill yang membolehkan pesakit menjalani latihan berjalan dengan mengurangkan berat badan yang perlu ditampung oleh kaki.


Teknologi tersebut membantu pesakit menjalani latihan berjalan secara berperingkat kerana sebahagian berat badan mereka akan disokong oleh sistem peralatan berkenaan.


Tambah beliau, pusat rehabilitasi itu juga dilengkapi teknologi robotik dikenali sebagai Cyberdyne HAL (Hybrid Assistive Limb) yang membantu pesakit menjalani latihan pergerakan dengan sokongan sistem robotik.


Dr. Teh turut menekankan kepentingan orang ramai mengenali tanda awal strok melalui konsep BEFAST.


Ia merangkumi hilang keseimbangan secara tiba-tiba, gangguan penglihatan, wajah senget, kelemahan pada tangan, percakapan tidak jelas serta keperluan mendapatkan rawatan segera.


“Jika seseorang menunjukkan simptom ini, jangan tunggu. Segera bawa pesakit ke hospital kerana masa sangat penting dalam rawatan strok,” katanya.


Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan pemeriksaan awal atau nasihat pakar berkaitan strok boleh berkunjung ke KPJ Damansara Specialist Hospital 2, yang kini menawarkan rawatan dan rehabilitasi menerusi Neuroscience & Stroke Centre of Excellence.


Comments

Popular posts from this blog

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

Majlis Berbuka Puasa Perdana Santuni 200 Asnaf di Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai