Nostalgia 90-an Kembali! Heyda Hafeey & Lan Solo Hidupkan Semula “Zapin Usik Mengusik 2.0”
KUALA LUMPUR – Peminat muzik era 90-an pasti masih mengingati lagu zapin moden “Zapin Usik Mengusik” yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu.
Kini selepas hampir tiga dekad, penyanyi asalnya Heyda Hafeey kembali menghidupkan semula lagu tersebut dalam versi baharu berjudul “Zapin Usik Mengusik 2.0.”
Lebih menarik, lagu nostalgia itu kini diberikan sentuhan moden menerusi kolaborasi bersama penyanyi rock popular, Lan Solo.
Menurut Heyda, lagu tersebut mempunyai nilai sentimental yang sangat besar dalam perjalanan kerjayanya kerana ia merupakan karya yang memperkenalkan namanya ke dalam industri muzik Malaysia ketika beliau baru berusia 17 tahun.
“Hampir 28 tahun lagu ini bersama saya. Lagu ini yang membawa saya masuk ke dalam industri muzik Malaysia sebelum saya tampil dengan album lain. Jadi saya rasa comeback yang terbaik adalah dengan menghidupkan semula lagu ini,” katanya.
Menariknya, ramai sebenarnya lebih mengenali lagu tersebut melalui kumpulan komedi popular Senario yang pernah mempopularkannya pada era kegemilangannya.
Namun bagi Heyda, perkara itu bukanlah satu masalah kerana baginya sebuah lagu yang baik akan terus hidup walaupun masa berlalu.
“Memang ramai yang kenal Senario lebih daripada penyanyinya, tetapi bagi saya itu bukan masalah. Lagu yang baik akan terus hidup dan saya hanya mahu menghidupkan semula lagu ini dengan nafas baharu,” jelasnya.
Versi baharu lagu ciptaan Budien dengan lirik oleh Naz itu kini digubah semula oleh pemuzik berpengalaman Dato Indra dengan konsep etnik fusion, iaitu gabungan instrumen tradisional dengan sentuhan muzik moden yang lebih dinamik.
Lan Solo pula mengakui pada awalnya beliau agak teragak-agak untuk menerima pelawaan tersebut kerana merasakan lagu itu sudah cukup kuat dan sinonim dengan Heyda.
“Saya ada cakap kepada Kak Aida bahawa lagu ini sudah cukup kuat dan sangat sinonim dengan dia. Tapi bila dia kata nak duet dengan saya, saya terus bagi sokongan penuh,” katanya.
Kini menerusi “Zapin Usik Mengusik 2.0”, Heyda berharap kemunculan semulanya dapat memperkenalkan semula dirinya kepada generasi baharu peminat muzik tempatan.
“Ini seperti pengenalan semula untuk orang kenal saya. Selepas ini kami ada beberapa projek dan single baharu yang akan menyusul,” katanya.



Comments
Post a Comment