Pulanglah Anak Kedah: KEDAH NITE 2026 Satukan Waris Kedah di Majlis Santapan Diraja


KUALA LUMPUR, 14 Januari 2026 – Seruan penyatuan dan kepulangan anak-anak Kedah ke pangkuan negeri asal dizahirkan menerusi penganjuran KEDAH NITE 2026, sebuah Majlis Santapan Diraja berprestij anjuran Persatuan Rantauan Warisan Kedah (WARIS KEDAH) yang akan berlangsung pada 14 Februari 2026 di MATRADE Hall, Bangunan MATRADE, Kuala Lumpur, bermula jam 6.30 petang.

Majlis ini dianjurkan sebagai wadah eksklusif untuk menghimpunkan tokoh-tokoh berpengaruh, pemimpin, profesional, usahawan, tokoh korporat serta personaliti berjaya kelahiran Kedah yang berada di seluruh negara dan luar negara, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh jaringan strategik serta sumbangan berimpak tinggi kepada pembangunan negeri Kedah.

Majlis turut menyembah perkenan DYTM Raja Muda Kedah dan YTM Tunku Mahkota Kedah untuk berangkat hadir, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dijangka mencemar duli menyerikan majlis berkenaan.

Antara tetamu kenamaan yang turut diundang ialah YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YAA Tan Sri Peguam Negara, YDH Tan Sri Ayub Khan Mydin Pitchay, selain pegawai-pegawai tertinggi kerajaan kelahiran Kedah, tokoh korporat terkemuka serta personaliti seni dan budaya yang telah mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis ini juga akan diserikan dengan kehadiran Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh terkemuka kelahiran Kedah yang menjadi Penaung KEDAH NITE 2026.



Seruan Pulang & Menyumbang kepada Kedah

Menurut Dato’ Sri Zaienal Abidin Omar, Pengerusi Penganjur KEDAH NITE 2026, penganjuran majlis ini adalah manifestasi menyahut titah DYMM Tuanku Sultan Kedah agar anak-anak Kedah yang berjaya di perantauan kembali menyumbang kepakaran, pengalaman dan jaringan strategik demi kemajuan negeri.

“KEDAH NITE 2026 bukan sekadar sebuah majlis santapan diraja, tetapi sebuah platform strategik jangka panjang yang menyatukan kepimpinan, pemikir dan penggerak ekonomi kelahiran Kedah. Ia bertujuan memperkasa kerjasama pelaburan, pertukaran idea dan inisiatif ekonomi serta sosial yang mampan,” katanya.

Beliau menambah, majlis ini juga menjadi simbol kebersamaan waris Kedah dalam memartabatkan identiti, warisan dan peranan anak Kedah dalam pembangunan ekonomi negeri dan negara.


Atur Cara Diraja & Jaringan Eksklusif

Majlis yang bertemakan “Black Tie” untuk lelaki (wajib) dan “Glamour Dress” untuk wanita ini akan bermula dengan sesi pendaftaran, koktel dan jaringan perniagaan pada jam 6.00 petang, diikuti solat Maghrib pada jam 7.15 malam.

Ketibaan tetamu kenamaan dijadualkan pada jam 8.00 malam, diikuti keberangkatan YTM Tunku Mahkota Kedah pada jam 8.10 malam, DYTM Raja Muda Kedah pada jam 8.20 malam, dan kemuncak majlis dengan keberangkatan tiba DYMM Tuanku Sultan Kedah pada jam 8.30 malam.

Majlis akan diteruskan dengan sesi bergambar, perarakan masuk dewan, nyanyian Lagu Negeri Kedah dan Lagu Negaraku, sebelum Majlis Santapan Diraja bermula pada jam 9.00 malam, diiringi persembahan kebudayaan serta nyanyian.

Ucapan Pengerusi Penganjur dijadualkan pada jam 9.30 malam, diikuti persembahan artis, sesi santai serta penyampaian Anugerah Khas. Keberangkatan pulang DYMM Tuanku Sultan Kedah dan Sultanah Kedah dijadualkan pada jam 10.30 malam, sebelum majlis bersurai pada jam 11.00 malam.

Pengesahan Kehadiran (RSVP)

Waris Kedah yang berminat menghadiri majlis ini diwajibkan membuat pengesahan kehadiran (RSVP) selewat-lewatnya 31 Januari 2026 dengan menghubungi pihak penganjur melalui WhatsApp bagi mendapatkan kad jemputan rasmi.

Hanya tetamu yang telah membuat pengesahan dan menerima kad jemputan dibenarkan memasuki Dewan Santapan. Pihak penganjur berhak menolak kemasukan tanpa pengesahan rasmi bagi memastikan kelancaran majlis serta pematuhan protokol diraja.

KEDAH NITE 2026 dijangka menjadi acara berimpak tinggi yang bukan sahaja mengangkat martabat warisan Kedah, malah menjadi pemangkin penyatuan, kolaborasi dan sumbangan berterusan anak-anak Kedah di persada nasional dan antarabangsa. 7 

Comments

Popular posts from this blog

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI