YWP Jayakan Program Pemerkasaan Belia MADANI 2025, Libatkan 60 Belia Termasuk Golongan OKU
KUALA LUMPUR, 24 Disember 2025 — Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjaya melaksanakan Program Pemerkasaan Belia MADANI 2025, melibatkan seramai 60 orang belia berusia 12 hingga 17 tahun, termasuk empat peserta daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Program yang berlangsung selama dua hari itu diadakan di Dewan Masjid Jamek Kampong Bharu, dengan matlamat memperkasa potensi belia secara menyeluruh melalui pembangunan kemahiran, kepimpinan dan jati diri.
Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, berkata program tersebut merupakan platform penting untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Program ini dirangka untuk membina belia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, malah memiliki nilai kepimpinan serta tanggungjawab sosial yang tinggi,” katanya.
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada empat bengkel utama yang bersifat interaktif dan praktikal, merangkumi pengenalan teknologi maklumat melalui penggunaan AI dan Canva, keusahawanan, kemahiran komunikasi efektif serta pembangunan kepimpinan belia.
Menurut Dr. Abdul Basir, pendedahan awal kepada kemahiran digital dan pemikiran keusahawanan amat penting dalam membentuk belia yang yakin diri, berfikiran positif dan bersedia menjadi pemimpin masa hadapan.
Kejayaan penganjuran program ini turut disokong oleh barisan penceramah dan fasilitator berpengalaman daripada pelbagai agensi dan organisasi, termasuk sektor pendidikan, pentadbiran serta keusahawanan.
YWP turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Masjid Jamek Kampong Bharu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (I WP) dan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu atas kerjasama erat dalam menjayakan program berimpak tinggi di peringkat komuniti ini.
YWP berharap inisiatif seperti Program Pemerkasaan Belia MADANI dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan membina belia yang berkeyakinan, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.







Comments
Post a Comment