Teater Muzikal Paduka Cik Siti Hadir Dengan Audio, Visual & Set Megah — Pengalaman Pentas Yang Tidak Boleh Dilepaskan, Tiket Masih Dijual



PUTRAJAYA, 3 Disember 2025 — Teater Muzikal Paduka Cik Siti bakal mengangkat semula legenda Raja Siti Wan Kembang ke pentas melalui sebuah produksi mega yang dijangka menjadi antara persembahan paling berpengaruh tahun ini. Dibawakan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bersama Persatuan Alumni ASWARA, pementasan penuh epik ini akan berlangsung dari 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.


Kisah seorang ratu Melayu yang disegani kerana keberanian, kebijaksanaan dan kekuatan kepemimpinan dijelmakan dengan gabungan lakonan, muzik, tarian serta elemen teknikal berteknologi tinggi. Produksi ini menampilkan rekaan audio, visual dan set yang disifatkan sebagai antara yang paling megah pernah dipersembahkan oleh ASWARA, dengan tujuan memberikan pengalaman pentas yang benar-benar imersif dan menyentuh emosi penonton.



Dalam sidang media yang berlangsung di ASWARA, produksi ini menjelaskan bahawa Paduka Cik Siti mengatasi skala produksi Sakti Merong Mahawangsa, malah menampilkan persiapan yang jauh lebih besar. Uji bakat yang diadakan pada Ogos lalu menerima kehadiran lebih 100 peserta, melebihi jangkaan awal. Proses pemilihan dilakukan secara teliti sehingga mereka terpaksa membeli dua hard disk 2 terabyte untuk menyimpan dan menilai semua rakaman audition. Peserta yang terpilih perlu melalui sesi latihan ketat yang menguji lakonan, vokal, pergerakan serta disiplin profesional di bawah pemantauan jurulatih dan tenaga pengajar.


Menurut mereka, ada peserta yang merupakan alumni yang telah lama tidak berlakon tetapi kembali tampil kerana semangat seni yang mendalam, menjadikan barisan bakat kali ini antara yang paling “enormous” dan matang dalam sejarah pementasan ASWARA. Lebih 250 tenaga kerja keseluruhan terlibat dalam penghasilan produksi ini, merangkumi pelajar, alumni, kakitangan dan profesional industri.


Dari sudut teknikal, Paduka Cik Siti menggunakan sistem bunyi profesional, pemantauan pentas yang lebih baik, pencahayaan moden, kostum yang diperincikan dengan teliti serta set pentas berskala besar. Peralatan teknikal dibekalkan daripada beberapa vendor termasuk alumni, memastikan setiap bahagian produksi mencapai standard tertinggi. Mereka turut menyatakan bahawa bajet produksi yang besar memungkinkan mereka memberikan hasil terbaik kepada penonton yang membeli tiket.


Barisan pelakon utama terdiri daripada Asmida, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Miza, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah dan ramai lagi pelakon berpengalaman, yang masing-masing membawa kekuatan emosi serta penghayatan mendalam terhadap watak.


Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar, menyatakan bahawa pementasan ini adalah sebahagian daripada usaha institusi untuk melestarikan warisan seni negara dan memperkukuh ekosistem teater tempatan. Beliau turut menyifatkan naskhah ini sebagai kesinambungan kejayaan Sakti Merong Mahawangsa, yang pernah menerima pengiktirafan di Anugerah Kamera Emas.


Produksi ini turut menerima sokongan daripada Seri Wajah, Nieza Salon Muslimah, Kuku Love, Makcik Urut dan Rumah Tangsi, yang terlibat dalam memperkukuh aspek promosi dan penyediaan kemudahan produksi.


Tiket Paduka Cik Siti kini masih dijual dan menerima sambutan menggalakkan. Harga bermula RM40 hingga RM100, dan orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui pautan berikut:


👉 https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti


Mereka menyeru masyarakat untuk hadir menyokong karya seni yang mengangkat tokoh wanita Melayu unggul dan memastikan warisan teater terus hidup dalam jiwa penonton.


“Sebarkan berita ini kepada orang ramai. Semoga usaha kita melestarikan seni dan warisan terus berkembang,” jelas mereka menutup sesi itu. -HAUS TV


Comments

Popular posts from this blog

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI