Adira + Shahir = Magis! “Hanya Kamu” Jadi Duet Comeback Paling Sweet 2025


Putrajaya, 5 Disember 2025 – Para peminat muzik tempatan akhirnya dapat melihat semula gandingan dua bintang kesayangan AF8, Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi, melalui single duet terbaharu mereka berjudul “Hanya Kamu”. Selepas 15 tahun, dua vokalis berbakat besar ini kembali bersatu, mencipta semula magis yang pernah mengukir fenomena pada era Akademi Fantasia.


Lebih manis, projek istimewa ini turut menyatukan semula mereka dengan bekas pengetua AF8, Dato’ Norman Abdul Halim, yang bertindak sebagai pencipta dan penerbit penuh lagu tersebut. Sentuhan produksinya yang segar, emosional dan moden menjadikan “Hanya Kamu” antara karya paling dinantikan peminat tahun ini.


Lagu ini juga dipilih sebagai OST rasmi filem fantasi romantik “Duyung: Legenda Aurora”, yang bakal menemui peminat di pawagam seluruh negara pada 25 Disember 2025.


Menurut Dato’ Norman, idea menggandingkan semula dua penyanyi itu hadir kerana kekuatan vokal mereka yang saling melengkapi:


> “Lagu ini menuntut paduan vokal duet yang mantap untuk menghidupkan emosi dramatik dalam filem sekuel Duyung. Individu pertama yang saya terfikir ialah Adira, dengan reputasinya sebagai Ratu OST. Dari situ muncul idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, yang juga merupakan bekas anak didik saya kira-kira 15 tahun lalu.”



Mengangkat tema cinta dua jiwa yang diuji, “Hanya Kamu” menggambarkan perjalanan hubungan yang penuh kasih sayang tetapi tetap berdepan cabaran. Mesej utamanya jelas — cinta sejati perlukan kesabaran, kesetiaan dan pengorbanan untuk terus bertahan.


Adira meluahkan rasa terharu apabila diberi peluang berkolaborasi semula dengan Shahir selepas sekian lama:


> “Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet selepas zaman AF. Peluang ini betul-betul mengembalikan nostalgia kami bersama Cikgu Norman 15 tahun lalu.”



Shahir pula teruja kerana berpeluang menyanyikan lagu genre R&B, sesuatu yang belum pernah dicubanya:


> “Lagu dan lirik ‘Hanya Kamu’ sangat menyentuh hati. Saya harap pendengar akan merasai emosi yang sama, terutama apabila filem ‘Duyung: Legenda Aurora’ mula ditayangkan nanti."


Dengan keserasian vokal, lirik yang mendalam serta melodi yang menyentuh jiwa, “Hanya Kamu” dijangka menjadi antara duet comeback paling sweet, paling menyentuh dan paling dikenang tahun 2025.


Lagu ini telah dipersembahkan secara eksklusif di acara SELBIZ 2025, Shah Alam Convention Centre baru-baru ini. “Hanya Kamu” diedarkan oleh Sony Music Entertainment Sdn Bhd dan boleh distrim di semua platform digital mulai 5 Disember 2025, manakala video muzik rasmi akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music pada jam 8 malam hari sama.


Comments

Popular posts from this blog

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI