KESS Semarakkan Solidariti Palestin Melalui “Malam Untukmu Gaza” – The Helmis Duta Rasmi Syiling Emas Khas
JENGKA, 24 Oktober 2025 – Kedai Emas Sri Semantan (KESS) memperkukuh komitmen kemanusiaannya dengan menganjurkan program “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Majlis yang akan berlangsung pada Jumaat, 24 Oktober ini, jam 9 malam di KESS Cawangan Jengka, Pahang, turut meraikan pembukaan rasmi cawangan ketiga jenama emas tempatan itu.
Acara ini bakal menyaksikan pelancaran Syiling Emas Khas ‘Untukmu Gaza’ serta pelantikan pasangan artis dan aktivis kemanusiaan, The Helmis (Heliza Helmi & Hazwani Helmi) sebagai duta rasmi KESS.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KESS, Mohd Hafizal Haji Mahmood, pelantikan The Helmis mencerminkan usaha syarikat menggabungkan keusahawanan dan nilai kemanusiaan.
“Syiling ‘Untukmu Gaza’ ini bukan sekadar produk emas, tetapi simbol perpaduan rakyat Malaysia terhadap perjuangan saudara kita di Gaza. Kami mahu setiap hasil rezeki membawa makna kepada orang lain,” jelasnya.
Sebahagian hasil jualan syiling tersebut akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui kerjasama dengan NGO Cinta Salam Malaysia, yang diterajui oleh Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, peserta misi Sumud Nusantara Flotilla.
Antara pengisian menarik malam tersebut ialah solat hajat, persembahan qasidah, persembahan istimewa Raihan, Mawi, The Helmis, dan Dr Sam Rasputin, serta penyampaian sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan Gaza.
Pasangan The Helmis turut berkongsi kisah inspirasi mereka melalui lagu baharu Mengukir Takdir, yang dirakam sebelum berangkat ke misi kemanusiaan Palestin.
> “Kami ingin menyampaikan mesej cinta, empati dan harapan buat rakyat Palestin. Setiap pengalaman di sana mengajar kami makna sebenar ketabahan,” kata Heliza.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia menzahirkan penghargaan kepada KESS atas inisiatif ini.
“Apabila sebuah jenama tempatan seperti KESS tampil dengan program sebegini, ia menunjukkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu Gaza semakin mendalam,” katanya.
Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang.








Comments
Post a Comment