‘Bola dan Impian’: Filem Inspirasi Baharu Bakat Muda Malaysia Dilancarkan Bersama Starlight Institute
PETALING JAYA, 22 Oktober 2025 — Dunia kreatif tanah air menyaksikan satu lagi lembaran baharu apabila Starlight Institute of Screen and Stage Media secara rasmi dilancarkan menerusi majlis pembukaan dan Pelancaran Rasmi di Starlight Arena, Plaza 51, hari ini.
Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah institusi baharu, tetapi juga menjadi pentas pengumuman kepada filem tempatan terbaharu berjudul Bola dan Impian — karya inspirasi yang menonjolkan semangat juang dan keberanian pasukan bola sepak perempuan bawah 18 tahun.
Filem arahan Rayson Ng dan diterbitkan oleh Aaron Lim, menampilkan tiga wajah baharu hasil program pembangunan bakat Project Starlight, iaitu Seri Nur Adriana Elisa (18), Lucinda Lew Xin Yee (16), dan Aarhthi Sivenesan (16).
Mereka dipilih daripada lebih 100 penyertaan dalam sesi uji bakat Project Starlight Audition 2025, dengan hanya tiga peserta terbaik terpilih sebagai pelakon utama.
> “Kami bukan sekadar melancarkan akademi — kami membina jambatan antara pendidikan dan industri sebenar. Inilah tempat bakat muda dilatih, beraksi dan akhirnya bersinar di layar,” kata Aaron Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Starlight Institute merangkap penerbit Bola dan Impian.
Kerjasama Strategik Bersama Chek Hup
Filem Bola dan Impian juga menjadi simbol kerjasama antara Starlight Institute dan jenama kopi tempatan tersohor Chek Hup Sdn Bhd, yang turut menjadi rakan penaja utama projek ini.
Sebagai simbolik, satu upacara menandatangani jersi rasmi telah diadakan antara Aaron Lim dan Joseph Tan, Pengarah Urusan Kumpulan Chek Hup.
Aaron menjelaskan, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh sokongan industri tempatan terhadap seni, tetapi juga membuka ruang kepada bakat baharu untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, bersempena dengan FIFA 2026.
MOU Bersama Rakan Industri dan Pendidikan
Dalam majlis sama, turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Starlight Institute dan beberapa rakan strategik industri kreatif serta pendidikan, antaranya:
Falcon TVET University US (APAC CEO, Calvin Chong)
Aotu Theatre (Noel Neoh)
Antplus Entertainment (Ash Lu)
Synergy Media Entertainment (Yvonne Lee)
JM Music (Michael Kek)
Langkah ini dijangka memperkukuh jaringan latihan dan peluang pekerjaan kepada pelajar serta graduan dalam bidang seni persembahan dan produksi skrin.
Pengarah & Penerbit Berpengalaman
Pengarah filem ini, Rayson Ng, mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam industri media dan pernah mengarahkan lebih 1,500 projek termasuk dokumentari, iklan, dan drama untuk jenama seperti Hong Leong Bank, Medico, dan Asian Football Confederation (AFC).
Bola dan Impian merupakan filem cereka pertama beliau, dan dijangka mengetengahkan naratif kuat tentang sukan, kecekalan dan mimpi remaja wanita Malaysia.
Sementara itu, penerbit filem ini, Aaron Lim, sebelum ini pernah mencipta nama menerusi filem C144: Human x Nature (2022) yang meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk Best Writer (Alternative Film Festival, Kanada) dan Best Feature Film (Eastern Europe Film Festival).
Penggambaran Bola dan Impian dijadual berlangsung dari November hingga Disember 2025 di sekitar Johor, dan dijangka menemui penonton di pawagam pada Mei 2026.
Filem ini dijangka membuka ruang baharu kepada pembangunan filem sukan wanita tempatan, selain memperkukuh komitmen Starlight Institute dalam melahirkan tenaga kreatif muda Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Tentang Starlight Institute
Starlight Institute of Screen and Stage Media ialah pusat latihan dan produksi kreatif di bawah Starlight Screen & Stage Academy, yang menawarkan latihan profesional dalam bidang lakonan filem, persembahan media dan seni produksi.
Berpusat di Plaza 51, Petaling Jaya, institut ini berperanan sebagai jambatan antara pendidikan seni dan industri hiburan global.





Comments
Post a Comment