“Mickey Klaxson Curi Tumpuan, Kongsi Pentas Bersama Syamel, Ameerais, John Bear Si Nakal & The Potais ”
Kuala Lumpur – Nama Mickey y Klaxson, penyanyi yang sering dikaitkan dengan vokal mirip legenda Allahyarham Saleem, terus mencuri perhatian selepas berjaya memukau peminat menerusi beberapa acara besar baru-baru ini.
Pada 27 Ogos 2025, Mickey bersama penyanyi popular Syamel Amzah menyertai Program Lawatan ke Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Munawwarah (MATQAM) anjuran 211 Event Empire. Lawatan tersebut disambut mesra oleh pengurusan madrasah, diserikan dengan ucapan alu-aluan, sesi persembahan artis, jamuan makan dan bergambar bersama pelajar.
Beberapa hari kemudian, pada 30 Ogos 2025, Mickey sekali lagi menjadi perhatian apabila muncul dalam Mini Showcase 211 Event Empire bersama barisan artis terkenal seperti Syamel Amzah, Ameerais Forteen, John Bear Si Nakal dan kumpulan The Potais.
Acara eksklusif itu turut mendapat sokongan tetamu kehormat dari Acheh termasuk Yang Terhormat Tengku Irsyadi, Ustaz Fauzan Kami dan Bapak Iqbal, di samping rakan-rakan media serta peminat setia.
Selain Mickey, showcase tersebut turut menampilkan Ameerais Forteen yang kini bergerak secara solo selepas lama dikenali bersama kumpulan Forteen.
> “Apabila saya bersama Forteen, kami bekerja secara berkumpulan. Jadi bila bergerak secara solo, ia memberi sisi berbeza dengan hala tuju muzik yang lebih fokus kepada identiti sendiri. Kini saya lebih bebas menentukan arah dan gaya nyanyian saya,” katanya.
Menurut Ameerais, kerjaya solonya bermula sejak tahun 2004 apabila bakatnya dihidu oleh komposer terkenal Edry Abdul Halim. Namun pada tahun lalu, melalui projek bersama Syamel, namanya kembali segar di persada seni.
> “Ramai yang ingat saya menyepi, tetapi sebenarnya saya masih aktif. Insya-Allah, single baharu sedang dalam perancangan. Buat masa ini, saya bergerak secara freelance, namun saya bersyukur masih menerima peluang persembahan termasuk bersama 211 Event Empire,” jelasnya.
Dalam pada itu, Syamel Amzah turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Micky buat pertama kali.
> “Saya kenal Ameerais sudah lama, tetapi dengan Micky ini saya baru pertama kali berjumpa selepas dia tular di Acheh menyanyikan lagu Hanya Satu Persinggahan. Sejujurnya saya terus tertarik dengan bakatnya.
Sebelum showcase ini, saya pernah rancang buat acara bersama, tetapi tidak kesampaian. Alhamdulillah, pihak 211 Event Empire nampak potensi kami berdua melalui TikTok dan hubungi saya untuk jayakan acara ini. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya berharap dapat sama-sama terlibat dalam konsert berskala lebih besar selepas ini,” kata Syamel.
Sementara itu, Micky yang kini mempunyai lebih 94.5 juta pengikut di TikTok turut mencuri perhatian selepas rakaman busking lagu-lagu Saleem di ibu kota tular baru-baru ini. Penyanyi berimej rockers itu juga sempat menziarahi kubur Allahyarham Saleem ketika berada di Kuala Lumpur, yang mendapat pujian ramai sebagai tanda penghormatan kepada legenda tersebut.
> “Saya tidak pernah rasa terbeban bila dipanggil klon Saleem. Sebaliknya, itu satu penghormatan besar buat saya. Apa yang penting sekarang ialah membina identiti sendiri, dan saya berazam untuk jayakan konsert mega satu hari nanti,” katanya penuh semangat.
Dengan sambutan padu peminat dan sokongan penganjur, jelas menunjukkan 211 Event Empire berjaya menghimpunkan artis-artis berbakat dari Malaysia dan Acheh, sekaligus membuka ruang lebih luas untuk kerjasama seni di masa depan.
Comments
Post a Comment