Menara Rezeki Meterai Kerjasama Strategik dengan CIDB Holdings & JC Logistics Tingkatkan Industri Pembinaan Malaysia
Kuala Lumpur, 27 Ogos 2025 – Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB), syarikat bumiputera G7 yang berpengalaman dalam projek berskala besar, hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CIDB Holdings Sdn Bhd dan Perjanjian Usaha Sama (JVA) dengan JC Logistics Sdn Bhd di Teedo Hotel, Kuala Lumpur.
Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff, Pengarah Urusan MRSB, berkata kerjasama ini lahir daripada lawatan MRSB ke China International Import Exhibition (CIIE) 2024, di mana teknologi bahan binaan terkini diperkenalkan. Kolaborasi ini bertujuan memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan kualiti bahan binaan, serta menjimatkan kos dan masa projek.
Beliau menekankan bahawa pemeteraian JVA adalah bukti kepercayaan dua hala dan akan menjadi asas kepada kerjasama mampan dan berimpak besar dalam industri pembinaan Malaysia. MRSB, yang ditubuhkan pada 2002, kini berkembang menjadi syarikat G7 dengan pelbagai cabang perniagaan termasuk pembinaan, hospitaliti, F&B, pertanian, perubatan, teknologi, tenaga boleh baharu, dan pengurusan air serta biomass.
YBrs Puan Zainora Zainal, Pengerusi CIDB Holdings, berkata CIDBH memainkan peranan penting dalam memastikan bahan binaan mematuhi standard Akta 520, melalui fungsi pengujian, pensijilan dan verifikasi bahan binaan. Platform digital ASSURE juga memudahkan permohonan, pengujian, dan pemantauan bahan binaan, meningkatkan ketelusan, kecekapan, dan keberkesanan industri.
Kerjasama ini dijangka memperkasa pengimportan bahan binaan, meningkatkan mutu projek, serta memperkukuh reputasi pemain tempatan di mata pelabur dan pengguna. Ia juga selaras dengan hala tuju negara melalui Dasar Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), yang menekankan transformasi industri berteraskan AI, 5G, IoT, dan teknologi digital.
“Dengan kesungguhan semua pihak, industri pembinaan Malaysia akan terus maju, lebih berdaya saing, dan mampan di persada dunia,” ujar beliau.
Comments
Post a Comment