Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Kembali Gegar KL, Himpunkan Bintang Era 80-an & 90-an

 


KUALA LUMPUR: Selepas mendapat sambutan hangat sebelum ini, Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 kembali dianjurkan tahun ini dengan konsep lebih istimewa, menggabungkan hiburan, dakwah dan kebajikan dalam satu acara sepanjang bulan Ramadan.

Konsert yang bakal berlangsung pada 14 Mac depan di Saloma, Kuala Lumpur itu menghimpunkan 10 penyanyi popular era 80-an dan 90-an, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati nostalgia muzik tanah air dalam suasana penuh spiritual.



Antara artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata serta kumpulan nasyid The Rayhan.

Menurut pihak penganjur daripada HS Event & Ent Sdn Bhd, konsert edisi kali ini diadakan atas permintaan peminat yang mahu melihat gabungan persembahan muzik dengan pengisian rohani sepanjang Ramadan.





“Rata-rata peminat menyukai konsep hiburan dakwah yang kami bawakan sebelum ini. Persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi turut diselitkan nilai spiritual yang sesuai dengan suasana Ramadan,” kata wakil penganjur, Mubarak Akhtar.

Bermula Dengan Ibadah, Diakhiri Hiburan

Menariknya, konsert ini tidak hanya tertumpu kepada persembahan pentas semata-mata. Program akan dimulakan dengan tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum waktu berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah.

Selepas itu, para pengunjung akan menunaikan solat Isyak dan tarawih sebelum acara persembahan artis bermula.

“Konsep ini memberi pengalaman yang berbeza kepada peminat kerana mereka bukan sahaja dapat menikmati hiburan, tetapi juga mengisi Ramadan dengan aktiviti ibadah,” jelasnya.

Hiburan Sambil Beramal

Dalam masa sama, konsert ini turut membawa misi kebajikan apabila sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan bagi membantu golongan memerlukan.

Penganjur menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan kewangan, selain menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim sempena Aidilfitri.

“Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban mereka serta memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim menjelang hari raya,” katanya lagi.

Dengan gabungan bintang legenda, pengisian rohani dan misi kebajikan, Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 dijangka menjadi antara acara paling dinanti sepanjang Ramadan tahun ini.

Peminat yang merindui suara emas artis-artis lama pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan mereka secara langsung di pentas istimewa ini.

Comments

Popular posts from this blog

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI