Tourism Administration of Taiwan Kembali ke Malaysia Dengan Promosi Besar-Besaran di Dua Bandar Utama
Malaysia terus kekal sebagai antara pasaran pelancongan utama bagi Taiwan di bawah Dasar Pandang ke Selatan Baharu (New Southbound Policy). Dengan pertumbuhan KDNK (GDP) Malaysia yang mencecah 5.2% pada tahun 2025, permintaan terhadap pelancongan luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia turut meningkat dengan ketara.
Ditambah pula dengan hubungan akrab rakyat Malaysia terhadap Taiwan serta kemudahan pelbagai penerbangan terus, Tourism Administration, MOTC kini mempergiat usaha bagi merebut peluang pasaran ini.
Bagi memperkukuhkan kedudukan strategik Taiwan untuk separuh kedua tahun 2026 serta musim cuti perayaan akan datang, sebuah delegasi pelancongan peringkat tinggi telah dibentuk. Delegasi tersebut terdiri daripada wakil kerajaan tempatan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, hotel dan pengusaha taman tema yang melibatkan sebanyak 29 organisasi serta 64 wakil keseluruhannya.
Bermula 13 hingga 20 Mei, delegasi tersebut mengadakan siri promosi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menerusi Pameran Pelancongan Taiwan serta Sesi Taklimat Produk Pelancongan B2B. Inisiatif roadshow ini bertujuan memperluaskan penguasaan pasaran Taiwan dalam kalangan pelancong Malaysia secara agresif melalui strategi promosi bersepadu.
Aktiviti promosi dimulakan di Queensbay Mall, Pulau Pinang dari 15 hingga 17 Mei menerusi Pameran Pelancongan Taiwan berskala besar yang membawa identiti jenama “Taiwan – Waves of Wonder”. Acara tersebut menampilkan maskot popular “OhBear” bersaiz gergasi serta instalasi Belon Udara Panas Taitung yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk bergambar dan berkongsi di media sosial.
Lokasi “check-in” yang unik dan Instagrammable itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung tempatan yang hadir untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej pelancongan dan destinasi menarik di Taiwan.
Pentas utama turut dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan “Liu-Sheng-Ji” dan “Flying Space” yang mempersembahkan gabungan muzik, tarian jalanan serta aksi akrobatik yang menyerlahkan kepelbagaian budaya moden Taiwan.
Bagi meningkatkan lagi penglibatan pengunjung, pempengaruh popular Malaysia iaitu LizQin dan Cayeeloh (炸魚) turut hadir berkongsi pengalaman mereka melancong ke Taiwan. Mereka menyifatkan Taiwan sebagai destinasi yang sentiasa “meriah siang dan malam” dengan pelbagai pilihan itinerari bertema yang sesuai untuk semua jenis pelancong.
Delegasi tersebut meneruskan siri promosi pada 19 Mei di The Westin Kuala Lumpur menerusi dua sesi Taklimat Produk Pelancongan B2B Taiwan yang memfokuskan kepada pasaran Muslim dan pasaran Cina.
Sesi tersebut menerima sambutan memberangsangkan daripada persatuan pelancongan tempatan, penggiat industri serta pihak media. Pendekatan pemasaran bersegmen ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara pemain industri pelancongan Malaysia dan Taiwan.
Memandangkan hampir 70 peratus penduduk Malaysia beragama Islam, Tourism Administration kini memberi penekanan serius terhadap pembangunan pelancongan mesra Muslim. Delegasi tersebut turut mengetengahkan kejayaan Taiwan menduduki tangga keempat dalam kalangan destinasi bukan OIC menerusi Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2025.
Pencapaian tersebut membuktikan komitmen Taiwan dalam menyediakan kemudahan hospitaliti dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelancong Muslim.
Dalam masa sama, Tourism Administration turut memberi tumpuan kepada pelancong Cina Malaysia khususnya segmen premium dan pelancong berulang. Strategi ini menampilkan pengalaman pelancongan yang lebih eksklusif dan mendalam menerusi produk pelancongan berkualiti tinggi serta itinerari pilihan.
Dengan kelebihan kemasukan tanpa visa, tempoh penerbangan yang singkat serta suasana pelancongan yang selamat dan selesa, Malaysia terus menjadi pasaran penting bagi Taiwan.
Pameran Pelancongan Taiwan di Pulau Pinang berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya acara tersebut. Sambutan yang amat memberangsangkan itu turut menyumbang kepada peningkatan tempahan pakej pelancongan secara langsung di lokasi.
Sementara itu, sesi B2B di Kuala Lumpur menghimpunkan lebih 100 pemain industri pelancongan tempatan dan berjaya memudah cara lebih 5,000 sesi padanan perniagaan antara wakil Malaysia dan Taiwan.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada ejen pelancongan tempatan untuk membawa kumpulan pelancong Malaysia ke Taiwan pada masa akan datang.
Menurut Mr. Abe Chou, Director of the Taiwan Tourism Administration (KL Office), pasaran Malaysia akan terus diperkukuhkan menerusi strategi pemasaran bersama KOL dan kandungan digital bagi mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Taiwan.
Beliau berkata, Taiwan menawarkan pengalaman lengkap merangkumi dunia kulinari bertaraf antarabangsa, landskap gunung-ganang yang indah serta pesisiran pantai yang memukau.
Selain itu, Taiwan juga akan memanfaatkan filem komedi romantik dan rancangan hiburan berorientasikan keluarga untuk mengukuhkan imejnya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
Melalui strategi pemasaran yang lebih tepat mengikut segmen pelancong, Taiwan berharap dapat terus kekal sebagai destinasi pilihan utama serta destinasi kunjungan berulang yang digemari rakyat Malaysia.





Comments
Post a Comment