Komuniti Bukit Damansara Bangkit Tolak Premis Jualan Arak Dalam Zon Perumahan
KUALA LUMPUR, 14 Nov — Penduduk di Jalan Setia Kasih 6, Bukit Damansara tampil membantah tindakan sebuah rumah kediaman yang didakwa memohon lesen jualan minuman keras, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perubahan status premis itu kepada komersial tanpa pengetahuan komuniti.
Rumah tersebut, yang terletak di permulaan jalan mati dengan sekitar 30 buah kediaman, telah lama kosong dan kerap bertukar penyewa. Ia turut pernah digunakan untuk Airbnb, majlis hari jadi dan pelbagai acara sosial, sehingga menjejaskan ketenteraman kawasan.
Ketegangan memuncak minggu lalu apabila seorang penduduk terlihat notis permohonan lesen minuman keras yang ditampal di bahagian dalam kawasan rumah — bukan di lokasi mudah dilihat orang awam seperti yang selalunya disyaratkan oleh pihak berkuasa. Penduduk mendakwa keadaan itu menimbulkan keraguan dan dianggap seolah-olah cuba mengelak perhatian awam.
Wakil penduduk, Dr Barkeh Hanim Jumaat, berkata komuniti terkejut dengan tindakan tersebut dan segera menggerakkan bantahan rasmi.
“Ini kawasan kediaman keluarga. Tidak wajar sebuah rumah persendirian memohon lesen arak, apatah lagi tanpa pengetahuan penduduk sekitar,” katanya.
Susulan penemuan itu, penduduk mengumpul tandatangan dan menyerahkan surat bantahan rasmi kepada Pengerusi Lembaga Eksais dan Penjaja DBKL, dengan salinan kepada YB Hannah Yeoh serta pihak persatuan komuniti.
Penduduk turut menyuarakan kebimbangan bahawa kelulusan lesen sedemikian boleh membuka pintu kepada kewujudan premis hiburan lain, sekali gus mengubah karakter Bukit Damansara yang selama ini dikenali sebagai kawasan kejiranan yang aman dan berorientasikan keluarga.
Pengubahsuaian besar-besaran yang sedang dijalankan di rumah terbabit juga menimbulkan persoalan tambahan mengenai tujuan sebenar pemilik premis.
Setakat ini, tiada aktiviti komersial kelihatan, namun penduduk mendesak agar DBKL segera memberi penjelasan mengenai status sebenar rumah tersebut, termasuk sama ada ia telah diklasifikasikan sebagai premis komersial.
“Kami akan terus mempertahankan keharmonian kawasan ini dan menolak apa-apa pembangunan yang tidak sepadan dengan zon perumahan,” ujar Dr Barkeh Hanim Jumaat.
Penduduk Jalan Setia Kasih 6 kini menunggu respons rasmi daripada pihak DBKL.




Comments
Post a Comment