GGR memperkenalkan 'Prototype' EV terbaharu, Pantera R1 dan R2



KUALA LUMPUR, 2 November 2025 – GGR Legacy (M) Sdn Bhd atau dikenali sebagai GGR Motor hari ini memperkenalkan 'Prototype' motosikal elektrik terbaharu, dinamakan Pantera R1 dan R2, iaitu motosikal EV jarak jauh pertama rekaan dan pemasangan tempatan dengan keupayaan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.


Pengarah Urusannya, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, 

model Pantera R1 dan R2 dibangunkan sebagai simbol kemampuan anak tempatan untuk menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi setanding produk antarabangsa.


“Tujuan utama pelancaran Pantera R1 dan R2 adalah untuk melahirkan motosikal elektrik pertama buatan Malaysia yang boleh mencapai jarak 300 kilometer bagi satu cas penuh. Ini akan menjadi penanda aras baharu industri EV tempatan,” katanya pada program MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Bukit Jalil, di sini.


Pelancaran dilakukan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan turut dihadiri oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA. 


Turut serta ialah Pengarah PMH Motor Sdn. Bhd.,Mohd Izwan Mazlan dan Rakan Strategik GGR Motor, Professor Dr Nizar Abd Jalil dan rakan kongsi GGR Motor, dua artis terkenal, Johan dan Ajak Shiro. 


Musaddiq menjelaskan, motosikal itu menggunakan dua unit bateri berkapasiti 73.8V / 116Ah  bagi meningkatkan jarak perjalanan. 



Pantera R1 dan R2 turut menyokong sistem pengecasan pantas (fast charging), membolehkan satu bateri dicas penuh dalam masa hanya 30 minit. 


“Kelebihan utama Pantera ialah sistem baterinya yang fleksibel. Pengguna boleh mengecas di rumah atau menukar bateri di stesen swap. Bayarannya murah, mudah dan menjimatkan masa tanpa perlu tunggu lama,” kata beliau. 


Musaddiq berkata, motosikal berkenaan dipacu oleh motorhub berkuasa 5,000 kw dan dilengkapi Votol Controller, jenama antarabangsa yang terkenal dengan kecekapan tenaga. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 kilometer sejam, dengan kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak atau servis enjin seperti motosikal petrol biasa.


“Kami mahu buktikan bahawa kenderaan elektrik bukan hanya mesra alam, tetapi juga mampu menjimatkan kos jangka panjang untuk rakyat,” katanya lagi.


Beliau menambah, GGR Motor memberi tumpuan kepada rider e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan sasaran utama. Inisiatif ini dijangka membantu ribuan penghantar makanan dan pemandu penghantaran menjimatkan perbelanjaan operasi.


“Dengan beralih kepada motosikal elektrik, rider e-hailing boleh jimat sehingga 60 peratus daripada kos harian mereka. Ini bukan sekadar kenderaan, tetapi satu bentuk peluang ekonomi baharu,” jelasnya.


Skim pembiayaan mudah


Bagi memudahkan pemilikan, GGR Motor memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah serta bayaran ansuran bulanan yang fleksibel.


Walaupun harga rasmi belum diumumkan kerana masih dalam fasa prototype, beliau memberi jaminan bahawa harganya akan mampu milik dan setanding motosikal petrol kelas pertengahan.


Pelancaran Pantera R1 dan R2 akan dijalankan dalam dua fasa:


Fasa pertama (Oktober–Disember 2025): Pembinaan ekosistem swapping station dan charging point di kawasan tumpuan utama seluruh negara.


Fasa kedua (bermula Januari 2026): Pra-tempahan (pre-order) dibuka kepada komuniti e-hailing dan orang ramai.


“Kami akan mula jual bermula tahun depan. Kami tidak mahu jual sebelum ekosistemnya bersedia. 

Kami akan mulakan dengan buat penambahbaikan dulu sistem untuk sistem charging di seluruh Malaysia. 


"Kami pastikan dah bersedia dalam masa dua, tiga bulan ini, baru kita akan start jual motor. Kita tak nak macam dulu, kita dah start jual 8,000 unit EV Lion G1. Tapi dulu kita hanya jual dengan harga yang 'below market' sebab kita nak open market EV dalam Malaysia ini. Itu tujuan utama. 


Kolaborasi strategik dan ekosistem swap station


"Bila kita dah buka market EV ini, sekarang masa untuk teknologi pula. Kita nak ubah teknologi yang baharu, yang mana daripada dua, tiga bulan ini kita nak kena pastikan ada infrastruktur dekat seluruh Malaysia ini. 


"Jadi kita perlukan rakan strategik daripada syarikat-syarikat korporat, syarikat-syarikat swasta contohnya syarikat besar yang ada cawangan seperti 99 Speedmart ataupun ZUSS Coffee ataupun di pelbagai petrol pam. 


"Kita minta untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat dan swasta untuk kita kolaborasi meletakkan charging station, ataupun bila kita buat charging station di sana ataupun swap station, kita ada dua jenis.


"Satu swap station yang mana bateri itu kita swap. Kita tukar bateri itu di seluruh tempat cawangan-cawangan yang kita kolaborasi itu. Yang kedua, kita boleh charge di setiap petrol pam yang mana, motor kita ini lain daripada yang lain. 


"Ia dimana charging system kita, kita boleh pakai charging kereta untuk charging motor. Itu benda yang sangat sangat lainlah. Sebelum ini ada masalah kita dah jual motor Lion G1 selama empat ke lima bulan ini, jadi kita nampak kelemahan-kelemahan yang ada untuk nak nak charge motor tak ada tempat.


"​Jadi tujuan kita launching motor Pantera R1 dan R2 ini sebenarnya kita nak cari syarikat-syarikat korporat untuk bekerjasama dengan GGR. Kami menyediakan motor yang orang kata sangat baik sebab kita dah buat R&D dah lama. 


"Jadi hari ini kita launching dahulu, kita tak jual dan kita tak ambil tempahan apa-apa. Kita tak nak jual apa-apa pun untuk kali ini. Kita hanya nak yang paling penting sekarang kita nak EV ini semakin meluas dalam pasaran Malaysia. Itulah tujuan utama kita, " katanya.


Walaupun harga rasmi belum diumumkan kerana model masih berstatus prototype, Musaddiq memberi jaminan bahawa harganya akan berada di bawah RM10,000 menjadikannya mampu milik bagi kebanyakan pengguna tempatan.


Syarat utama kerjasama adalah  syarikat  berkenaan perlu  mempunyai outlet yang banyak bagi menjadikan lokasi-lokasi ini sebagai hab mini swap EV di seluruh negara.


“Kita sedang galakkan model kolaborasi bersama sektor swasta. Lagi banyak syarikat terlibat, lagi banyak stesen swap dapat dibuka. Ini bukan projek satu syarikat, ini usaha membina ekosistem negara,” katanya. 


Menurutnya, belum pernah lagi ada syarikat yang melancarkan motor terlebih dahulu tanpa menjual kerana apa yang dihasilkan adalah prototype untuk mengenalpasti kelemahan. 


Selain itu, GGR Motor turut memperkenalkan konsep baharu ‘Subscription Swap Station’, iaitu model langganan untuk pengusaha yang mahu membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR Motor.


Melalui konsep ini, setiap pertukaran bateri dikenakan caj kecil dan pengendali premis akan menerima komisen tetap bagi setiap transaksi, sekali gus membuka peluang pendapatan tambahan kepada pengusaha tempatan.


“Konsep langganan ini pengguna dapat tukar bateri dengan mudah, pengusaha pula dapat pendapatan tambahan daripada setiap pertukaran,” katanya.


Kejayaan model terdahulu dan arah masa depan


Musaddiq turut mengimbas kejayaan model terdahulu Lion G1 keluarannya yang menerima sambutan luar biasa dengan lebih 8,000 unit terjual.


“Lion G1 membuktikan pasaran motosikal elektrik di Malaysia sangat besar. Pantera R1 dan R2 akan memperkukuh kedudukan GGR sebagai peneraju EV tempatan,” katanya.


Tambahnya, alat ganti untuk motosikal ini bagi pengguna di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya boleh diperoleh secara terus di kedai rasmi supermarket GGR Motor di Sungai Penchala, Damansara, bagi memastikan pelanggan tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan selepas jualan.


Manakala Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer, yang akan memainkan peranan penting dalam mengembangkan capaian pasaran serta memastikan perkhidmatan pelanggan terbaik kepada pengguna di wilayah Utara.


Selain itu, GGR turut bekerjasama dengan artis tempatan sebagai rakan kongsi  apabila dua cawangan GGR Motor kini di bawah kendalian pelakon terkenal Farid Kamil serta  pelawak dan penyampai radio, Johan menerusi GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil. 


Terkini GGR juga  akan bekerjasama dengan pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro. 


Bagi tahun 2026,  GGR turut  membuka  peluang kepada usahawan atau sesiapa sahaja       yang berminat untuk menjadi pengedar motosikal EV keluaran GGR. 


Dalam jangka panjang, GGR Motor turut menyasarkan untuk menembusi pasaran  Asia  sebagai destinasi eksport utama selepas ekosistem domestik kukuh.


Syarikat juga berhasrat memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan setiap kawasan berpotensi tinggi di Malaysia mempunyai kemudahan swap dan caj EV yang mencukupi.


Musaddiq berkata, GGR akan mengadakan satu lagi pelancaran motor baharu lain selepas ini, disamping Pantera R1 dan R2. 


"Tetapi kita nak 'launching' sekali dengan infrastruktur. Kita tak nak launching jual motor sahaja, tetapi tidak selesaikan hal charging. 


"Kalau ada infrastruktur dan ada company yang boleh kolaborasi, itu lebih baik. Kita boleh launching sekali dan infra dah ada, benda ini takkan mati," katanya. 

Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”