Kerajaan Madani hormat hak rakyat, pembangkang perlu guna saluran demokrasi – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan dan menjamin kebebasan bersuara rakyat, termasuk hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak menghalang sebarang perhimpunan selagi ia mematuhi undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman.


Namun begitu, beliau mengingatkan terdapat beberapa sekatan demi menjaga keselamatan awam, seperti larangan membabitkan kanak-kanak dan penggunaan bahan atau objek berbahaya seperti suar.

“Sesiapa yang mahu berhimpun, silakan. Itu hak di sisi Perlembagaan. Tetapi jika melampaui batas undang-undang seperti membakar suar atau membawa senjata berbahaya maka tindakan penguatkuasaan perlu diambil,” katanya.

Saifuddin turut menyentuh dakwaan kerajaan menyekat suara pembangkang.


Katanya, hakikatnya kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya untuk perbahasan di Parlimen, termasuk membenarkan pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya jika benar-benar serius ingin mencabar kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Kalau benar pembangkang menghormati prinsip demokrasi, ada dua saluran yang mereka boleh guna sama ada di luar atau di dalam Parlimen.

“Tetapi kalau di luar Parlimen, apa kesannya? Di dalam Parlimen, kita telah sediakan ruang. Saya sendiri sebagai Ketua Majlis telah memberi jaminan, sekiranya usul yang dikemukakan itu spesifik, mendesak dan membabitkan kepentingan awam, saya akan minta Speaker untuk utamakan usul terbabit,” katanya.

Saifuddin turut merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 27, yang membolehkan Ahli Parlimen membawa usul tergempar dan usul biasa ke dalam Dewan Rakyat.

Namun katanya, sehingga kini, walaupun Parlimen telah bersidang selama lima hari, tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan pembangkang.

“Bola kini di kaki pembangkang. Kalau betul mereka tak boleh tunggu dua tahun lagi dan merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus turun, silakan kemukakan usul.

“Tapi yang kita lihat hanya diam sunyi di dalam Parlimen, sedangkan yang lantang hanya di luar,” katanya lagi.

Beliau juga menyindir tuntutan pembangkang agar Anwar “turun” daripada jawatan, dengan menyatakan kerajaan telah mengambil langkah proaktif demi rakyat, termasuk menurunkan harga minyak dan tarif elektrik.

Namun menurutnya, pihak pembangkang masih tidak berpuas hati.

“Apa sebenarnya matlamat mereka? Adakah untuk mewujudkan keresahan, mencipta persepsi buruk terhadap kerajaan, atau memberi isyarat negatif kepada pelabur asing? Sedangkan pada masa ini ekonomi negara mula menunjukkan pemulihan yang positif,” katanya.

Saifuddin menggesa pembangkang supaya menjadi pihak semak dan imbang yang bertanggungjawab, selaras dengan amalan demokrasi yang sihat.

Beliau berkata, semua pihak harus lebih matang dalam mengendalikan perbezaan pendapat dan tidak merosakkan kestabilan negara demi kepentingan politik sempit.

“Janganlah semata-mata kerana tidak berpuas hati, kita ciptakan ketegangan yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Kalau benar ada keyakinan dan kekuatan, tunjukkan di Parlimen, bukan di jalanan,” tegasnya.

Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

“Detik Gemilang Wanita Hebat: Dari Zarina Zainuddin ke Dr. Soo Wincci, Worthy Wonder Women 2025 Rai Kejayaan”