Vanessa Reynauld Lebarkan Sayap ke Pasaran Mandarin Dengan ‘Would You Leave Me Too?’
Kuala Lumpur, 28 November 2025 – Menjelang penghujung tahun, penyanyi bersuara emas Malaysia, Vanessa Reynauld, melangkah berani dalam fasa baharu kerjayanya dengan pelancaran single Mandarin pertama berjudul Would You Leave Me Too?. Lagu ini kini tersedia di semua platform penstriman utama dan hadir sebagai bingkisan istimewa buat para peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya. Anak kelahiran Klang itu terus memperkukuh kehadiran di peringkat serantau, sekali gus menandakan satu lagi detik penting dalam landasan kariernya.
Pelancaran ini hadir selepas pendedahannya menerusi program muzik terkenal China, The Voice Power, yang memperkenalkannya melalui format unik penilaian “pendengaran secara buta”. Tanpa sebarang visual, hanya kekuatan vokal dipertaruhkan—dan di situlah nama Vanessa semakin menyerlah, memikat para juri dan penonton dengan teknik vokal yang matang serta interpretasi emosi yang mendalam.
Would You Leave Me Too? membawa sentuhan balada yang lembut namun sarat jiwa, mengangkat tema cinta, kehilangan dan kerumitan hubungan insan. Susunan muziknya yang dibina atas alunan piano, lapisan R&B dan sentuhan akustik menghasilkan atmosfera yang intim dan penuh nostalgia. Vokal Vanessa yang fleksibel—dari nada rendah yang halus hingga lontaran tinggi yang bertenaga—menghidupkan lagu ini dengan kejujuran yang sukar disangkal. Menurutnya, lagu ini lahir daripada renungan peribadi tentang perasaan mencintai sepenuh hati meskipun sedar bahawa hidup sarat dengan ketidaktentuan. “Pengalaman hubungan jarak jauh mengajar saya nilai komunikasi. Ketika mendengar demo pertama lagu ini, saya tahu ia bukan sekadar kisah cinta—ia kisah tentang hidup,” jelasnya.
Vanessa turut mendedahkan sisi peribadi yang menjadi inspirasi di sebalik lagu tersebut. “Saya mempunyai abang yang menghidap sindrom Down, dan kesihatannya agak merosot sejak akhir-akhir ini. Ada detik saya tertanya—adakah tiba masanya saya perlu belajar melepaskan? Ibu pula sudah memasuki usia lewat 70-an, dan saya sering berfikir tentang masa… sama ada saya cukup hadir untuk mereka. Semua emosi itu bercampur dan akhirnya mengalir ke dalam lagu ini,” luahnya.
Karier Vanessa yang semakin berkembang pesat terus menarik perhatian industri dalam dan luar negara. Pada 2022, beliau terpilih sebagai artis muka depan Spotify EQUAL sebelum wajahnya terpampang di papan iklan digital Times Square, New York. Beliau turut meraih anugerah Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) serta pengiktirafan Double Platinum daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM). Pada 2023, persembahannya membawakan lagu Ride the Wind di The Voice of China menerima pujian sebulat suara daripada semua mentor, manakala tahun ini pula Vanessa menghiasi pentas Beijing Radio & Television Spring Festival Gala 2025 sebelum mewakili Malaysia dalam pertandingan muzik antarabangsa Sing! Asia 2025.
Vanessa menyifatkan Would You Leave Me Too? sebagai karya paling peribadi dalam kerjayanya—sebuah perjalanan emosi yang bermula sebagai kisah cinta tetapi berkembang menjadi renungan tentang kehidupan, kehilangan dan harapan yang ingin digenggam. Beliau berharap pendengar dapat merasai ketulusan dan kedalaman yang cuba disampaikannya.
Dengan pelancaran single ini, Vanessa terus membuktikan bahawa muzik bukan sekadar karya seni, tetapi satu perjalanan jiwa yang sentiasa berkembang. Would You Leave Me Too? kini tersedia untuk dinikmati para peminat di seluruh dunia, menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan seorang bintang muda yang semakin bersinar.

Comments
Post a Comment